Tuesday, 17 December 2013

Pemegang konsesi tol sudah untung besar kadar sedia ada.


RAFIZI RAMLI

Saya telah menegaskan bahawa cadangan dan alasan kenaikan tol seperti yang dipertahankan oleh Datuk Seri Wahid Omar tidak masuk akal kerana majoriti dari pemegang konsesi adalah dikuasai kerajaan. Malah, syarikat-syarikat ini juga mendapat bantuan kewangan dan subsidi dari kerajaan melaksanakan dan mengendalikan lebuhraya bertol.

Sebab itu, kenyataan Datuk Seri Wahid Omar cuba mengelirukan rakyat apabila beliau membayangkan bahawa Barisan Nasional perlu tunduk kepada syarikat-syarikat swasta yang kononnya memilik syarikat pemegang konsesi, sedangkan hakikatnya syarikat ini kebanyakannya syarikat milik kerajaan.

Saya juga membidas sekeras-kerasnya keangkuhan Datuk Seri Wahid Omar yang memberi kata dua kepada pengguna jalanraya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan tol. Walaupun beliau sebelum ini dibayar gaji berjuta ringgit setahun dan sudah tentu tidak memahami kepayahan rakyat di bawah berhadapan dengan kenaikan harga barang, sepatutnya beliau mengambil kira kebajikan rakyat dalam melaksanakan tugas sebagai menteri. Kehadiran menteri-menteri seperti ini membuktikan betapa terpisahnya kabinet Dato’ Seri Najib Tun Razak dari realiti seharian rakyat.

Saya membantah keras cadangan menaikkan kadar tol kerana rekod kewangan syarikat pemegang konsesi menunjukkan mereka telah pun mendapat keuntungan berlipat kali ganda (obscene profits) pada kadar tol sekarang. Setiap kenaikan kadar tol sebenarnya menambahkan lagi keuntungan mereka sedangkan rakyat terus terbeban dengan tekanan ekonomi.

Pampasan yang dibayar oleh kerajaan bukanlah satu bentuk subsidi yang diwar-warkan oleh Barisan Nasional. Subsidi bermakna belanja yang dikeluarkan kerajaan untuk menampung kos sesuatu barangan atau perkhidmatan supaya harganya boleh dikekalkan pada paras yang lebih rendah.

Dalam kes kenaikan kadar tol, jumlah kos yang ditanggung pada kadar tol sekarang pun sudah terlalu rendah hingga memberikan keuntungan yang terlampau tinggi kepada pemegang konsesi. Oleh itu, sebarang kenaikan kadar tol sebenarnya sama dengan kerajaan mencukai rakyat dengan cukai tambahan kerana keuntungan syarikat-syarikat pemegang konsesi yang dimiliki kerajaan ini akhirnya kembali ke kantung Putrajaya untuk diborosi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kabinetnya.

Analisa keputusan kewangan PLUS Berhad (yang mengendalikan 6 lebuhraya), KESAS Berhad dan LITRAK Berhad (yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong dan SPRINT) menunjukkan kadar keuntungan yang melampau telah pun dinikmati oleh pemegang-pemegang konsesi, seperti berikut:

1) PLUS Berhad (keputusan kewangan bagi tahun 2011 dan perincian kos bagi tahun 2010 berdasarkan Laporan Tahunan PLUS)

Jumlah kutipan tol & perolehan (2011)
RM4.098 bilion
Jumlah kos menyenggara lebuhraya (mengikut kos 2010)

RM241 juta
Jumlah kos penggajian, pentadbiran dan lain-lain (mengikut kos 2010)

RM397 juta
Jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan (mengikut kos 2010)

RM507 juta
Anggaran keuntungan dari operasi tanpa caj susutnilai 2011 (mengikut kos 2010)

RM2.953 bilion
Keuntungan bersih sebelum cukai dengan caj susutnilai (2011)

RM2.515 bilion
% untung bersih sebelum cukai ( 2011)

61%

Tidak banyak perniagaan di dunia ini yang mencapai peratus untung bersih sehingga 61% seperti yang dicatatkan oleh PLUS Berhad. Melihatkan kepada kos untuk menyenggara lebuhraya hanyalah 6% dari jumlah kutipan tol setiap tahun sudah cukup menunjukkan bahawa kadar tol sedia ada sudah pun terlalu tinggi dan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada PLUS.

2) KESAS

Lebuhraya KESAS mencatatkan keuntungan berganda sehingga 121% secara terkumpul (cumulative annual growth rate atau CAGR) di antara tahun kewangan 2008 hingga tahun kewangan 2012 seperti dilaporkan oleh Maybank Investment Bank Research bertarikh 6 November 2013.

Kadar keuntungan yang naik satu kali ganda dalam tempoh empat tahun ini juga membuktikan bagaimana kadar tol sudah pun terlalu tinggi hingga pemegang konsesi menikmati keuntungan yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh hanya 4 tahun.

3) Litrak Berhad yang mengendalikan LDP dan SPRINT (keputusan kewangan bagi tahun 2013 mengikut Laporan Tahunan terkini)

Jumlah kutipan tol & perolehan
RM369 juta
Jumlah kos menyenggara lebuhraya
RM21 juta
Jumlah kos penggajian, pentadbiran dan lain-lain

RM29 juta
Jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan

RM79 juta
Keuntungan dari operasi tanpa caj susutnilai

RM240 juta
Keuntungan bersih sebelum cukai dengan caj susutnilai

RM180 juta
% untung bersih sebelum cukai
49%

Seperti juga pemegang konsesi yang lain, Litrak Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menikmati margin keuntungan bersih sebelum cukai yang begitu tinggi pada kadar 49% iaitu lebih tinggi dari industri minyak dan gas. Kos menyenggara lebuhraya juga hanyalah 6% sahaja dari jumlah kutipan tol.

Ini membuktikan bahawa kadar tol sedia ada sudah terlalu tinggi hingga memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi.

Pada masa yang sama, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya meningkat saban tahun.

Jadual berikut menunjukkan kadar pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun yang dinikmati pemegang-pemegang konsesi besar di Malaysia seperti yang dilaporkan di dalam laporan tahunan masing-masing dan pelbagai analisa lain:

LEBUHRAYA
TAHUN
JUMLAH KENDERAAN
% PENINGKATAN
PLUS
2010
417 juta setahun
8%
LDP
2013
497,000 seminggu
3.3%
Sprint
2013
237,000 seminggu
4.4%
KESAS
2013
290,000 sehari
5.0%
Maju Expressway
2010
78,962 sehari
8.1% lebih tinggi dari jumlah mengikut perjanjian

Angka-angka yang saya bentangkan secara jelas menunjukkan bagaimana pemegang-pemegang konsesi utama menikmati kutipan tol yang lebih tinggi kerana jumlah kenderaan yang bertambah telah pun melampaui sasaran kenderaan yang digunakan untuk menetapkan kadar tol sedia ada.

Dalam keadaan kos operasi sudah pun rendah (bagi sesetengah lebuhraya kos penyenggaraan tidak sampai 10% pun dari kutipan tol), keuntungan yang dinikmati merupakan antara yang tertinggi berbanding industri-industri lain. Oleh sebab itu, sebarang kenaikan kadar tol menghina rakyat pada kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah pun terlalu tinggi.

No comments:

Post a Comment