- Khairil Nizam Khairudin | 9:55PM Dis 14 2013
ULASAN Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan kenaikan cukai taksiran yang dipungut melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ia diumumkan akan berkuatkuasa pada tahun 2014 dengan kenaikan sebanyak 100 peratus hingga 250 peratus setelah 21 tahun cukai tersebut tidak dinaikkan mahupun dikaji semula mengapa ia tidak dinaikkan.
Rentetan daripada pengumuman tersebut, banyak reaksi negatif dapat dilihat sama ada di media perdana mahupun media alternatif. Ini menunjukkan pengumuman tersebut dalam keadaan tergesa-gesa tanpa sebarang kajian mendalam bagi impak kenaikan cukai taksiran tersebut.
KEWANGAN SEMASA DAN KEUNTUNGAN DBKL
Antara fakta perbandingan yang kita perlu akui bahawa, Bajet Selangor ditujukan untuk menangani penduduk yang jumlahnya 3.2 kali lebih besar daripada penduduk Kuala Lumpur, dan perkhidmatannya menjangkaui daerah yang 33 kali lebih luas daripada ibu kota.
DBKL dijangka memperoleh pendapatan RM1.69 bilion iaitu lebih kurang sama dengan Selangor, RM1.63 bilion. Kenaikan pendapatan RM511 juta daripada tahun 2010. Namun, DBKL ingin membelanjakan RM2.19 bilion sebagai perbelanjaan keseluruhan, 34 peratus lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan hanya RM1.63 bilion. Ia membelanjakan RM1.406 bilion untuk perbelanjaan operasi, 41 peratus lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM996.68 juta. Emolumen dan perbelanjaan lebih masa mencecah RM442.1 juta bagi DBKL, 19 peratus lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM370.5 juta.
Mengenai asas perkapita, DBKL membelanjakan RM907 bagi perbelanjaan operasi bagi setiap penduduk, empat kali lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM201. Bagi perbelanjaan operasi untuk setiap kediaman, DBKL membelanjakan RM3,348, hampir lima kali lebih banyak daripada Selangor yang membelanjakan RM738.
Melihat kepada perbelanjaan operasi mengikut keluasan, Selangor membelanjakan RM122,986 bagi satu kilometer persegi berbanding DBKL RM5.79 juta. Dari sudut perbelanjaan pembangunan, Selangor membelanjakan RM633 juta berbanding DBKL RM782.6 juta. Selangor mempunyai bajet yang berimbang, malah dana dalam kantungnya meningkat daripada RM400 juta dalam 2008 kepada RM2.7 bilion.
Adalah jelas berdasarkan statistik di atas, DBKL kurang cekap berbanding Selangor. Daripada meminta lebih banyak wang, DBKL sepatutnya mencari jalan untuk meningkatkan kecekapannya, mengurangkan kos dan pembaziran. Dan ia juga perlu bersikap telus dan bertanggungjawab dalam menunjukkan bagaimanakah wang warga kota dibelanjakan.
Contoh kes projek sakit yang cukup menyedihkan pembayar cukai ialah sebagaimana dibentangkan oleh Laporan Audit Negara berkenaan projek Taman Dusun Bandar di Jalan Bellamy. Projek itu sepatutnya sudah siap sepenuhnya pada tahun 2007 bagi merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2007.
Namun, pelaburan lebih RM17 juta itu gagal memberikan hasil terbaik kepada industri pelancongan Kuala Lumpur apabila projek 'sakit' itu tidak membuahkan hasil apabila pokok-pokok buah yang ditanam tidak menjadi dan tidak banyak buah-buahan dan tumbuhan herba hidup subur di taman tersebut.
Projek 'sakit' ini telah didedahkan oleh mantan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan yang lepas menyatakan projek ini telah diberikan kepada sebuah firma dengan kontral runding terus yang sememangnya menyalahi amalan pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan melalui kontrak tender terbuka. Lebih malang lagi, firma yang memperoleh kontrak ini pula tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan projek berkaitan pertanian.
Inilah amalan pengurusan tidak cekap dan sambil lewa yang diamalkan oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL. Hasil cukai sepatutnya diurus dengan lebih cermat, berdisiplin dan berhemah bagi menguntungkan warga kota. Namun, perkara sebaliknya berlaku.
Maka, adakah masih perlu atau wajar dibebankan warga kota dengan kenaikan cukai jika DBKL masih cuai mengurus sumber kewangan yang diperoleh?
PANDANGAN PEMIMPIN UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN
Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pelarasan tersebut perlu dibuat dalam kadar yang kecil agar warga kota tidak terasa dengan kenaikan itu.
Beliau mengandaikan jika kadar 10 peratus amat memadai kerana jika mengambil contoh seorang pemilik rumah membayar RM200 pada tahun lalu, tahun ini mungkin mereka hanya perlu bayar antara RM220 atau RM230.
Sekiranya jumlah itu dibahagikan dengan 12 bulan, ia hanya kira-kira RM2 sebulan, tetapi jika tahun lepas bayar RM200 dan tahun hadapan RM600, kenaikan itu memang sangat dirasai oleh warga kota.
Manakala, Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula berkata, DBKL tidak wajar menaikkan kadar cukai secara mendadak selepas kadar itu kekal selama 21 tahun.
DBKL juga perlu bertanggungjawab untuk mengatur cara dan tempoh kenaikan cukai kerana tidak semua warga kota terdiri daripada golongan senang.
Berlainan pula bagi Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Beliau berpendapat langkah pemberian rebat boleh disifatkan sebagai penghargaan kepada warga emas yang telah bersara dan warga kota berpendapatan rendah yang memiliki hartanah di ibu kota. Malah, pemilik rumah kos rendah yang tidak menyewakan kediaman mereka kepada orang lain juga perlu menerima rebat tersebut.
Nyatalah mereka pemimpin Umno Wilayah Persekutuan tidak setuju dengan kenaikan ini dan mengharap adanya alternatif bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana untuk diberi bantuan seperti rebat bagi mengelak mereka tertekan dengan situasi ekonomi semasa.
KESAN KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN
Sebagaimana kita maklum, kenaikan ini bersifat menyeluruh iaitu dikenakan kepada setiap kediaman dan premis perniagaan. Hal ini menyebabkan beberapa kesan berangkai yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat Wilayah Persekutuan.
1. Inflasi. Jangkaan ini mendapat perhatian ramai ahli ekonomi di negara kita. Ia bukan hanya berkaitan kenaikan cukai taksiran semata-mata, ia juga berkaitan pemotongan subsidi gula, minyak dan kenaikan tarif letrik. Kenaikan tol juga dijangkakan berlaku juga pada tahun 2014 dan kita sedia maklum tol paling banyak adalah di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang. Maka, inflasi yang berlaku ini akan memberi tekanan ekonomi kepada warga kota yang rata-rata pendapatan bertambah 3-8 peratus sahaja setahun berbanding inflasi yang dijangka antara 12-15 peratus. Bayangkan kenaikan gaji yang tidak setara dengan peningkatan harga barang dan sebagainya, bagaimana pula pihak kementerian begitu tega melihat rakyat membayar cukai taksiran yang dinaikkan secara mendadak?
2. Kos sara hidup yang meningkat. Apabila inflasi meningkat pastinya kos sara hidup sesebuah keluarga akan meningkat. Ini berlaku apabila pemotongan subsidi gula dan pengurangan subsidi beberapa keperluan asas seperti petrol, gas, tepung dan sebagainya menyebabkan pendapatan rakyat mengecil. Ini menyulitkan warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk meneruskan survival kehidupan.
3. Ini sekaligus memberi tekanan psikologi kepada masyarakat ibu kota. Maka tidak pelik dan tidak hairan jika jenayah berleluasa dan masalah sosial semakin menjadi-jadi di kalangan remaja. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah rentetan masalah tekanan jiwa yang dialami apabila dihimpit kesusahan dan kemiskinan. Maka pihak kementerian wajar ambil serius kesan berangkai ini kepada pembinaan tamadun Malaysia.
TUNTUTAN DAN CADANGAN
Justeru, DPPWP ingin membuat beberapa tuntutan dan cadangan kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk isu ini.
Tuntutan-tuntutan kami mewakili warga kota;
1. Kenaikan cukai taksiran ini dibatalkan pelaksanaannya dengan pihak kementerian membuat kajian menyeluruh terhadap impak kenaikkan terutama kepada miskin bandar yang majoritinya berbangsa Melayu.
2. Adakan dialog dan sesi perbincangan dua hala antara pihak kementerian mahupun DBKL dengan seluruh persatuan peniaga-peniaga dan persatuan penduduk di ibu kota bagi memahami masalah yang dialami oleh warga kota sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang menjerut pendapatan rakyat.
3. Kecekapan mengurus dan mentadbir kewangan DBKL perlulah ditingkatkan dan lebih efisien bagi memastikan setiap warga kota merasai dan memperoleh hak mereka sebagai rakyat dengan mengelakkan segala ketirisan, kebocoran dan penyelewengan dalam urus tadbir sumber kewangan yang kita maklum milik rakyat yang membayar cukai.
Selain itu, DPPWP mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bagi menangani isu ini;
1. Jangan ada sebarang kenaikan cukai taksiran kerana DBKL memperolehi lebihan keuntungan setiap tahun walaupun kenaikan yang minimum.
2. Jika DBKL terdesak untuk menaikkan cukai ini, kenaikkan hendaklah minimum iaitu lebih rendah daripada 6 peratus yang dicadangkan bersesuaian dengan kos sara hidup meningkat ekoran kenaikan harga barang dan pemotongan subsidi.
3. DPPWP mencadangkan jangka masa bantahan hendaklah dipanjangkan lebih lama bagi membolehkan orang awam memahami hak mereka sebagai pembayar cukai.
4. Meningkatkan mutu perkhidmatan dan infrastruktur awam di ibu kota supaya warga kota dapat menikmati kemudahan tersebut dengan lebih selesa bersesuaian dengan cukai yang dibayar setiap tahun.
5. Menaikkan cukai taksiran kepada golongan berpendapatan tinggi atau individu/syarikat yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi sahaja supaya kekayaan mereka dapat digunakan untuk meningkatkan infrastruktur awam.
PENUTUP
DPPWP berharap memorandum ini diterima dengan baik dengan mempertimbangkan segala cadangan dan tuntutan rasional yang dikemukakan. Ini penting bagi menjaga kebajikan dan kepentingan warga kota yang mempunyai pelbagai latar belakang pendapatan khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
KHAIRIL NIZAM KHAIRUDIN adalah Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP)
♪ ♫ Bersatu Kita Bersatu, Di Bawah Pemimpin Penipu ♩ ♬ UMNO/BN Terus Mara, Tipu Rakyat Malaysia ♭ ♮ ♯”
Sunday, 15 December 2013
'Kenaikan cukai melampau menekan ekonomi wargakota'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment