Tuesday 10 December 2013

MP Kuantan adakan pemeriksaan kesihatan cegah penyakit.



KUANTAN 10 DIS: Keracunan makanan dan jangkitan penyakit berjangkit biasanya lebih mudah tersebar selepas bencana banjir yang berpunca dari keadaan persekitaran yang kurang bersih.
Justeru, atas keperihatinan ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan beberapa petugas kesihatan, mereka mengambil inisiatif mengadakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan di Kampung Semangat, Kuantan.
Khidmat kesihatan di Sekolah Kebangsaan Ubai, Kuantan
Khidmat kesihatan di Sekolah Kebangsaan Ubai, Kuantan

“Pemeriksaan kesihatan bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan sihat amat penting.

“Kita berterima kasih kerana ada rakan-rakan yang sanggup turun bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada mangsa-mangsa ini,” kata Fuziah kepada Keadilandaily.

Tambahnya, walaupun ramai mangsa banjir dibenarkan pulang,namun pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sebahagian kawasan dinaiki air semula.

“Kita sentiasa bersiap sedia. Tumpuan kita beri di kawasan sekitar Sungai Pahang.
“Kita agak risau arus dari Temerloh akan menyebabkan kawasan sekitar tebing Sungai Pahang sekali lagi akan dinaiki air,” ujarnya.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang dan Johor Timur akan berlarutan sehingga 16 Disember ini.
Amaran ribut petir menyeluruh diramalkan meliputi kawasan perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Sarawak (Bintulu & Miri), WP Labuan & Sabah (Pantai Barat)

(Azuan Ab Rahman)
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=57080

No comments:

Post a Comment