♪ ♫ Bersatu Kita Bersatu, Di Bawah Pemimpin Penipu ♩ ♬ UMNO/BN Terus Mara, Tipu Rakyat Malaysia ♭ ♮ ♯”
Wednesday, 14 March 2012
Sabah: Negeri antara terkaya, rakyat paling miskin - Part 1
Perdana Menteri mendakwa Sabah bukan lagi negeri termiskin di Malaysia hanya berdasarkan kepada purata pendapatan per kapita negeri tersebut.
COMMENT
Bahagian 1
Oleh Azrul Azwar
Mungkin ramai penganalisis ekonomi antarabangsa dan tanahair, penggubal dasar ekonomi di peringkat pusat mahu pun di peringkat negeri, para pejuang hak asasi manusia dan aktivis sosial malah rakyat Malaysia secara umumnya bingung dan termangu-mangu dengan dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak tentang negeri Sabah.
Perdana Menteri mendakwa Sabah bukan lagi negeri termiskin di Malaysia hanya berdasarkan kepada purata pendapatan per kapita negeri tersebut yang berada di peringkat pertengahan antara negeri termiskin dan terkaya di Malaysia.
Tidaklah menghairankan kenapa kekeliruan sebegini timbul kerana Najib menggunakan suatu “indicator” atau penunjuk yang tidak sesuai dan jauh menyimpang dari ukuran universal yang digunapakai seluruh dunia untuk menggambarkan tahap kemiskinan sesebuah lokaliti sama ada kampung, bandar, daerah, wilayah, negeri atau negara.
Lazimnya, pendapatan per kapita yang ditakrifkan sebagai kesemua sumber pendapatan pelbagai kategori seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Pendapatan Kasar Negara.
Ini dibahagikan dengan bilangan penduduk keseluruhan dalam sesebuah lokaliti pada sesuatu tahun, digunakan sebagai ukuran kemakmuran/kekayaan penduduk sesebuah lokaliti terutamanya negara, khususnya untuk membuat perbandingan antarabangsa antara negara dan sering diungkapkan dalam sebarang matawang antarabangsa terutamanya dolar Amerika Syarikat dan Euro.
Oleh kerana pendapatan per kapita hanyalah sekadar suatu nilai purata, kelemahan paling utama bagi penunjuk ini ialah ianya tidak mencerminkan bagaimana pendapatan atau kekayaan diagihkan.
Jika terdapat herotan dalam pengagihan pendapatan sesebuah negara sebagai contoh, segelintir yang amat kaya boleh menyebabkan pendapatan per kapita melonjak tinggi walaupun pendapatan yang diterima sebahagian besar penduduk sebenarnya jauh lebih rendah.
Mungkin akibat kekurangan rehat atau tidur dek kerana jadual harian yang sangat ketat dan membebankan maka Najib terlepas pandang atau teralpa tentang apakah definisi sebenar kemiskinan.
Oleh yang demikian maka wajiblah kita sebagai segolongan daripada rakyat yang tahu serba-sedikit mengenai ilmu ekonomi membantu beliau menghentikan kecelaruan umum ini dengan membuat analisa kemiskinan negara dan perbandingan antara negeri-negeri di
Malaysia berdasarkan apa yang sepatutnya digunakan sebagai penunjuk kemiskinan universal.
Sebagai contoh menurut definisi World Bank atau Bank Dunia dan United Nations atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau pun takrifan nasional spesifik sesebuah negara terbitan daripada definisi-definisi ini.
Definisi Bank Dunia
Definisi Bank Dunia: “Poverty is pronounced deprivation in well-being, and comprises many dimensions. It includes low incomes and the
inability to acquire the basic goods and services necessary for survival with dignity.
“Poverty also encompasses low levels of health and education, poor access to clean water and sanitation, inadequate physical security, lack of voice, and insufficient capacity and opportunity to better one’s life.”
Definisi PBB: “Fundamentally, poverty is a denial of choices and opportunities, a violation of human dignity. It means lack of basic capacity to participate effectively in society. It means not having enough to feed and clothe a family, not having a school or clinic to go
to, not having the land on which to grow one’s food or a job to earn one’s living, not having access to credit.
It means insecurity, powerlessness and exclusion of individuals, households and communities. It means susceptibility to violence, and it often implies living in marginal or fragile environments, without access to clean water or sanitation.”
Lazimnya, terdapat dua kategori kemiskinan iaitu “hardcore/extreme/absolute poverty” atau kemiskinan tegar/keterlaluan dan “overall/moderate/relative poverty” atau kemiskinan relatif/keseluruhan.
Kedua-dua golongan ini berada di peringkat paling bawah sesebuah masyarakat yang terpaksa bergelut dengan pelbagai kesukaran hidup dan isu kekurangan atau kehilangan material atau pun pelucutan hak-hak untuk menikmati sesuatu.
Kemiskinan tegar boleh ditakrifkan sebagai suatu taraf hidup atau paras pendapatan yang diperlukan sekadar cukup untuk memenuhi piawaian minima atau keperluan cukup hidup minima yang mana jika kurang daripada itu, sesebuah isi rumah tidak boleh wujud atau hidup.
Oleh kerana kelangsungan hidup sepatutnya memerlukan bilangan sumber yang sama di mana sahaja di muka bumi ini, maka kayu ukur kemiskinan tegar sepatutnya seragam melangkaui masa, budaya, lokaliti dan paras teknologi, satu kelebihan yang membolehkan perbandingan global yang setara dengan mudah.
Ukuran kemiskinan tegar hanya menitikberatkan keupayaan penggunaan seseorang dan tidak bergantung pada perubahan pengagihan pendapatan yakni jika pendapatan benar sesebuah ekonomi meningkat walaupun tiada perubahan pada pengagihan pendapatan, kemiskinan tegar akan berkurangan.
Kemiskinan relatif
Kemiskinan relatif atau keseluruhan pula boleh ditakrifkan sebagai suatu peringkat taraf hidup atau paras pendapatan yang diperlukan, sekadar cukup untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat berlindung dan penjagaan kesihatan asas tetapi jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan oleh majoriti sesebuah masyarakat tanpa mengambil kira harta kekayaan keseluruhan atau cara hidup.
Definisi kemiskinan relatif banyak dipengaruhi oleh konteks sosial kerana kemiskinan relatif adalah salah satu metriks ekonomi berkaitan “income inequality” yakni ketidaksamaan ekonomi atau pendapatan yang antara lainnya merangkumi pekali Gini dan indeks Theil.
Sebagai contoh, walaupun pendapatan benar dalam sesebuah ekonomi meningkat tetapi tiada perubahan pada pengagihan pendapatan, maka kadar kemiskinan relatif juga tidak berubah.
Jika pengagihan pendapatan berubah menjadi lebih saksama manakala pendapatan benar juga meningkat, maka kemiskinan relatif sepatutnya berkurangan. Maka tidaklah mustahil jika kemiskinan tegar dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali tetapi pada masa yang sama, kemiskinan relatif meningkat.
Biasanya, kayu pengukur bagi kemiskinan relatif digunapakai sebagai kadar kemiskinan rasmi sesebuah lokaliti seperti bandar, negeri atau negara. Maka jelaslah di sini bahawa kadar kemiskinan relatif atau keseluruhan merupakan penunjuk kemiskinan utama dan bukannya pendapatan atau KDNK per kapita.
Untuk mengukur kemiskinan secara lebih terperinci yakni menentukan secara kuantitatif sama ada sesebuah isi rumah itu tergolong dalam miskin tegar atau miskin relatif atau pun bebas langsung dari belenggu kemiskinan, maka lahirlah konsep kayu ukur “poverty line income (PLI)/poverty threshold” atau pendapatan garis kemiskinan (PGK).
Kayu ukur
Kayu ukur ini secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai paras pendapatan minimum yang cukup untuk memenuhi keperluan cukup hidup minima (kemiskinan tegar) atau untuk menampung kos sara hidup bagi memenuhi keperluan asas lain (kemiskinan relatif) sesebuah isi rumah. Maka, secara intuitif, PGK bagi kemiskinan relatif adalah lebih tinggi daripada PGK bagi kemiskinan tegar.
Definisi PGK yang secara umumnya berbeza dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain, ditetapkan berdasarkan anggaran hasil kajiselidik isi rumah nasional. Biasanya, PGK di negara maju adalah lebih tinggi daripada negara membangun.
Kaedah penetapan PGK sangat mempengaruhi profil kemiskinan, seterusnya akan menjadi asas bagi dasar-dasar sosio-ekonomi sesebuah negara seperti inisiatif membasmi kemiskinan, program kebajikan dan bantuan masyarakat serta sistem jaring keselamatan sosial.
Bank Dunia menakrifkan kemiskinan tegar sebagai hidup dengan perbelanjaan kurang daripada US$1.25 (Purchasing Power Parity atau PPP pada 2005) sehari manakala kemiskinan relatif ditakrifkan sebagai hidup dengan perbelanjaan kurang daripada US$2.00 (PPP pada 2005) sehari.
Negara-negara OECD dan Kesatuan Eropah menggunakan “jarak ekonomi” yakni paras pendapatan setara dengan 60% daripada pendapatan isi rumah median sebagai PGK untuk mengukur kemiskinan relatif.
Oleh itu, sebagai contoh, penduduk sesebuah negara OECD yang berpendapatan kurang daripada 60% pendapatan isi rumah median nasional adalah tergolong sebagai miskin relatif.
Dalam erti kata lain, paras kemiskinan sesebuah negara OECD diukur dengan membahagikan bilangan isi rumah berpendapatan kurang daripada 60% pendapatan isi rumah median kepada bilangan isi rumah keseluruhan negara tersebut.
Penulis adalah ahli Lawyers For Liberty
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment