Thursday, 15 December 2011

Orang Asli hantar memo bantah pemberimilikan tanah di Johor


                                                                                
500 orang kaum Seletar berarak Bangunan Sultan Ismail di sini yang turut menempatkan Dewan Undangan Negeri.

JOHOR BARU: Kira-kira 500 orang Asli Seletar menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman membantah pemberimilikan tanah dan kawasan mereka kepada pihak lain.


Mereka juga membantah rancangan pembangunan besar-besaran di bawah Iskandar Malaysia yang menindas hak dan kepentingan Orang Asli. Memorandum itu telah diberikan oleh wakil masyarakat Temuan, Eddy Salim kepada Exco kerajaan negeri Datuk Ahmad Zahrri Jamil. Mereka berarak Bangunan Sultan Ismail di sini yang turut menempatkan Dewan Undangan Negeri.

“Orang Seletar telah kecewa dan ingin membantah dasar kerajaan negeri dengan lantang. Tanah kami telah diambil, hutan bakau ditebang dan air tercemar.

“Kehidupan Orang Seletar adalah sangat susah dan tersepit, hidup di celah pembangunan Iskandar Malaysia yang sedang giat berjalan,” kata kenyataan mereka hari ini.



Permasalahan Orang Asli 

Memorandum tersebut menggariskan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli Seletar iaitu:

1. Kami Orang Asli Seletar telah lama mendiami kawasan perairan Selat Johor, Sungai Pulai dan Sungai Johor. Kami hidup dan mencari rezeki di kawasan-kawasan tersebut secara turun-temurun sejak zaman nenek moyang kami.

2. Sejarah Orang Seletar di kawasan selatan Johor adalah sangat lama. Mengikut sejarah, Orang Laut Seletar memainkan peranan yang penting dalam penubuhan Kesultanan Johor. Hubungan Orang Seletar dengan pemerintah Johor adalah rapat dan istimewa. Ramai pengkaji telah merakamkan fakta tentang kedudukan Orang Seletar dalam buku sejarah.

3. Namun demikian, semenjak projek Iskandar Malaysia bermula akhir-akhir ini, kami berasa kehidupan semakin tersepit dan terancam. Tanah dan wilayah adat yang kami warisi dari nenek moyang kami telah diceroboh. Hutan bakau ditebang berleluasa. Pembangunan tidak terkawal telah mencemarkan sungai dan laut.

4. Pencerobohan tanah: Di Kg. Sg. Temun, kawasan kampung telah diberimilik kepada pihak syarikat tanpa pengetahuan dan persetujuan kami. Di Kg. Bakar Batu, tanah perkuburan nenek moyang kami sekarang sudah menjadi tanah hak milik syarikat swasta. Syarikat yang terlibat ini adalah anak syarikat pemaju Iskandar Investment Berhad. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?.

5. Kehilangan hutan bakau: Sejak kecil Orang Seletar dididik untuk menjaga hutan bakau, kerana dari situlah ikan, udang dan ketam hidup membiak. Tetapi sejak bermulanya projek Danga Bay dan seterusnya Iskandar Malaysia, hutan bakau yang sangat luas telah ditebang. Contohnya, pulau di muara Sungai Skudai yang kami namakan Pulau Kecil, kini menjadi tapak rumah banglo mewah tetapi dulunya hutan bakau tempat pencarian hasil laut kami. Tanpa hutan bakau, mata pencarian Orang Seletar merosot dan hidup merana.

                                                                                Hutan bakau ditebang


6. Pencemaran air sungai dan laut: Sesudah hutan bakau ditebang, kerja-kerja tanah di tepi sungai dan laut pula giat berjalan tanpa kawalan rapi. Akibatnya pencemaran air yang serius dan hasil tangkapan ikan kami berkurangan. Malah sangkar-sangkar ikan (termasuk udang, kupang dan ternakan lain) yang kami usahakan mengalami kerugian, walaupun sebelum ini berjaya.

7. Kami juga merasa sangat kecewa kerana masih terdapat perkampungan Orang Seletar yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air. Di Kg. Pasir Salam, awal pagi kanak-kanak kena pergi ke sekolah dengan menaiki bot dalam kegelapan. Macam-macam projek pembangunan berjalan, tetapi kemudahan asas di kampung kami masih berkurangan.

8. Selama ini, Orang Seletar memberi sokongan penuh kepada kerajaan. Hakikatnya, sokongan Orang Laut yang tidak berbelah bagi kepada Sultan Johor pada suatu ketika dahulu adalah begitu penting untuk mengukuhkan kerajaan Johor.

9. Tetapi kini kami kecewa dan ingin membantah dasar kerajaan negeri dengan lantang. Tanah kami Orang Seletar diambil, hutan bakau ditebang, dan air tercemar. Tidak pun sesekali kami masyarakat Orang Seletar diberi makluman, ditanya pendapat ataupun diminta kebenaran tentang projek-projek demikian yang telah dan sedang berlaku di wilayah adat kami.

10. Kami yakin apa yang berlaku telah bercanggah dengan kebebasan asas seseorang warganegara Malaysia yang diberi jaminan oleh Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 5 (hak untuk hidup), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 13 (hak kepada harta benda). Orang Asli Seletar adalah penduduk asal di negeri Johor. Kami ada hak terhadap wilayah adat kami. Kami enggan dilayan umpama setinggan atau pendatang haram.
                                                                               Memorandum itu meminta Abdul Ghani bertindak: 

1. Mengambil tindakan segera memberhentikan projek-projek yang menceroboh kawasan Orang Asli Seletar serta menjejaskan kehidupan kami. Membatalkan pemberimilikan tanah-tanah Orang Asli kepada pihak-pihak yang lain. Wilayah adat dan tanah Orang Asli seharusnya diwartakan sebagai        rizab Orang Asli dan kekal untuk generasi akan datang.

2. Memberi jaminan bahawa Orang Seletar tidak akan dihalang daripada mencari hasil laut di wilayah adat kami, iaitu secara umumnya di kawasan Selat Johor, dan kawasan perairan dalaman sepanjang Selat Johor. Kegiatan yang menjejaskan hutan bakau dan mencemarkan air sungai dan laut harus diberhentikan dan dikawal. Harus dipastikan bahawa projek pembangunan yang berjalan tidak mendatangkan kesan buruk kepada hasil pencarian Orang Seletar.

3. Memberi pengiktirafan sepenuhnya kepada hak masyarakat Orang Asli khasnya melalui pewartaan wilayah adat kami. Ini berdasarkan prinsip yang terterap dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkenaan dengan Hak Orang Asal (UNDRIP). Cadangan kerajaan persekutuan untuk mejalankan suatu Dasar Pemberimilikan Tanah harus dibatalkan.

4. Prihatin kepada suara rakyat Orang Seletar. Apabila ada sebarang rancangan yang mempengaruhi kawasan Orang Seletar, sewajarnya rundingan diadakan seawal yang mungkin. Kerajaan harus mendengar dan memahami hasrat dan pandangan Orang Asli SEBELUM suatu ketetapan dibuat. Kami menolak pujukan atau paksaan yang selalu dikenakan terhadap Orang Asli agar berkorban tanah dan hak untuk orang lain.

5. Memberhentikan segala penindasan terhadap Orang Asli, layan kami dengan adil. Sekiranya tanah kami terpaksa diambil untuk tujuan awam, maka pampasan yang berpatutan harus diberi kepada kami. Bukanlah hasrat Orang Seletar untuk menghalang pembangunan, tetapi kami mahu anak cucu kami maju dan hidup bermaruah setanding kaum lain. Apa yang berlaku sekarang jelas meminggirkan kepentingan kami. Ini tidak boleh kami terima.

Ada sembilan kampung Orang Asli Seletar Johor yang menyokong memorandum ini iaitu Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Johor Bahru, Sungai Temun, Perling, Johor Bahru, Bakar Batu, Perling, Johor Bahru, Teluk Jawa, Masai, Johor Bahru, Kuala Masai, Masai, Johor Bahru, Pasir Puteh, Pasir Gudang, Johor Baru, Teluk Kabong, Pasir Gudang, Johor Bahru, Pasir Salam, Sg. Tiram, Johor Bahru dan Sungai Papan, Kota Tinggi.

- Free Malaysia Today December 15, 2011

No comments:

Post a Comment