Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Thursday, 17 September 2015

AMK SARAWAK MENGAJAK PENDUKUNG ‘BAJU MERAH’ UNTUK PANDANG KE SARAWAK!

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak membidas keras tindakan penganjur dan peserta demonstrasi ‘Baju Merah’ yang berlangsung dengan penuh sentimen perkauman dan kebencian semalam.

Walaupun kita meraikan hak berhimpun dan hak bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun tindakan pihak baju merah tersebut yang hanya bersandarkan kepada isu-isu perkauman wajar dikritik keras kerana ianya mencemarkan hak-hak kemanusiaan tersebut. Sepanjang demonstrasi tersebut dapat diperhatikan pelbagai unsur-unsur perkauman dimainkan dari awal himpunan tersebut. Pelbagai sepanduk dan slogan perkauman dilaungkan. Bangsa Cina juga dijadikan sebagai sasaran utama dengan pelbagai kata-kata hinaan yang boleh menyebabkan perbalahan antara kaum sekiranya tidak dikawal.

Kehadiran ramai pemimpin-pemimpin UMNO Barisan Nasional juga jelas menunjukkan sokongan mereka terhadap sentimen perkauman. Ini menunjukkan Slogan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Najib Razak hanyalah omongan kosong dan tidak disusuli dengan sebarang tindakan yang mencerminkan semangat persaudaraan antara kaum!

AMK Sarawak seterusnya mengajak pendokong ‘baju merah’ untuk melihat Sarawak yang mempunyai 28 etnik besar dan hidup secara harmoni sebagai contoh dan rujukan bagi mengetahui maksud sebenar keharmonian. AMK Sarawak berharap agar ianya dapat melahirkan Malaysia yang lebih harmoni dan bebas daripada perkauman! Dengan keadaan ekonomi yang semakin parah sekarang, kita sewajarnya fokus untuk memantapkan ekonomi dan bukannya undur ke belakang dan terperangkap dengan isu perkauman.

AMK Sarawak juga berharap mereka yang hadir semalam agar bermuhasabah diri. Janganlah kita sempitkan pemikiran kita kepada perkauman atas nama pertahankan hak Melayu Islam tetapi dalam masa yang sama menghina bangsa dan agama lain. Melayu yang terbaik adalah Melayu yang Islamis dan bukannya rasis dan Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi rasis!

Sejajar dengan semangat Hari Malaysia, kita sewajarnya mengukuhkan persaudaraan antara kaum dan memajukan Malaysia ke hadapan!

Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia.


SAIFUNNIZAM SAM
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sarawak

Tuesday, 29 July 2014

Islam tidak berdiri dengan semangat tetapi Islam berdiri dengan PEMAHAMAN.

Prinsip-prinsip sistem politik Islam terdiri daripada beberapa perkara di antaranya:


Musyawarah

Prinsip pertama dalam sistem politik Islam ialah musyawarah. Asas musyawarah yang paling utama adalah berkenaan dengan pemilihan ketua negara dan orang- orang yang akan menjawat tugas-tugas utama dalam pentadbiran ummah. Asas musyawarah yang kedua pula adalah berkenaan dengan penentuan jalan dan cara perlaksanaan undang-undang yang telah dimaktubkan di dalam al-gur'an dan al Sunnah. Asas musyawarah yang seterusnya ialah berkenaan dengan jalan -jalan menentukan perkara- perkara baru yang timbul di kalangan ummah melalui proses ijtihad.

Ke'adilan

Prinsip kedua dalam sistem politik Islam ialah keadilan. Ini adalah menyangkut dengan ke'adilan sosial yang dijamin oleh sistem sosial dan sistem ekonomi Islam. Ke'adilan di dalam bidang bidang sosioekonomi tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya kuasa politik yang melindungi dan mengembangkannya.

Di dalam perlaksanaannya yang luas, prinsip ke'adilan yang terkandung dalam sistem politik Islam meliputi dan menguasai segala jenis perhubungan yang berlaku di dalam kehidupan manusia, termasuk ke'adilan di antara rakyat dan pemerintah, di antara dua pihak yang bersengketa di hadapan pihak pengadilan, di antara pasangan suami isteri dan di antara ibu bapa dan anak anaknya.

Oleh sebab kewajiban berlaku 'adil dan menjauhi perbuatan zalim adalah merupakan di antara asas utama dalam sistem sosial Islam, maka menjadi peranan utama sistem politik Islam untuk memelihara asas tersebut.

Pemeliharaan terhadap ke'adilan merupakan prinsip nilai-nilai sosial yang utama kerana dengannya dapat dikukuhkan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.

Kebebasan

Prinsip ketiga dalam sistem politik Islam ialah kebebasan. Kebebasan yang dipelihara oleh sistem politik Islam ialah kebebasan yang berteraskan kepada ma'ruf dan kebajikan.

Menegakkan prinsip kebebasan yang sebenar adalah di antara tujuan-tujuan terpenting bagi sistem politik dan pemerintahan Islam serta asas asas bagi undang -undang perlembagaan negara Islam.

Persamaan

Prinsip keempat dalam sistem politik Islam ialah persamaan atau musawah. Persamaan di sini terdiri daripada persamaan dalam mendapat dan menuntut hak-hak, persamaan dalam memikul tanggungjawab menurut peringkat -peringkat yang ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan dan persamaan berada di bawah taklukan kekuasaan undang -undang.

Hak Menghisab Pihak Pemerintah

Prinsip kelima dalam sistem politik Islam ialah hak rakyat untuk menghisab pihak pemerintah dan hak mendapat penjelasan terhadap tindak tanduknya. Prinsip ini berdasarkan kepada kewajiban pihak pemerintah untuk melakukan musyawarah dalam hal hal yang berkaitan dengan urusan dan pentadbiran negara dan ummah. Hak rakyat untuk disyurakan adalah bererti kewajipan setiap anggota di dalam masyarakat untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran. Hak ini dalam pengertian yang luas juga bererti hak untuk mengawasi dan menghisab tindak tanduk dan keputusan-keputusan pihak pemerintah.

Prinsip ini berdasarkan kepada firman Allah yang mafhumnya:

"Dan apabila ia berpaling (daripada kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanaman tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan." (Al-Baqarah: 205)

"..maka berilah keputusan di antara manusia dengan 'adil dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang orang yang sesat daripada jalan Allah akan mendapat 'azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan." (Sad: 26)

Tujuan Politik Menurut Islam

Tujuan sistem politik Islam ialah untuk membangunkan sebuah sistem pemerintahan dan kenegaraan yang tegak di atas dasar untuk melaksanakan seluruh hukum syari'at Islam. Tujuan utamanya ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Dengan adanya pemerintahan yang mendukung syari'ah, maka akan tertegaklah al Din dan berterusanlah segala urusan manusia. Menurut tuntutan-tuntutan al Din tersebut.

Para fuqaha Islam telah menggariskan sepuluh perkara penting sebagai tujuan kepada sistem politik dan pemerintahan Islam.

1. Memelihara keimanan menurut prinsip-prinsip yang telah disepakati oleh 'ulama' salaf daripada kalangan umat Islam
2. Melaksanakan proses pengadilan di kalangan rakyat dan menyelesaikan masalah di kalangan orang-orang yang berselisih
3. Menjaga keamanan daerah-daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai
4. Melaksanakan hukuman -hukuman yang ditetapkan syara' demi melindungi hak -hak manusia
5. Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar
6. Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam
7. Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat dan sedekah sebagai mana yang ditetapkan oleh syara'
8. Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros ataupun secara kikir
9. Mengangkat pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara
10. Menjalankan pergaulan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hal ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi al Din.

Sumber : http://drmindailmu.blogspot.com/2009/08/prinsip-prinsip-utama-sistem-politik.html?m=1

Monday, 23 December 2013

Gantung akhbar The Heat bukti sikap kuku besi Kerajaan BN yang anti-kebebasan media.


KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengantung akhbar mingguan The Heat membuktikan sikap kuku besi Kerajaan BN yang antikebebasan media, tegas kumpulan NGO, Jingga 13 Malaysia.

Koordinator Panatia Tugas-Tugas Khasnya, Nikson Abdillah berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat semakin tidak relevan dan mempergunakan kuasa untuk mengekang amalan demokrasi dan kebebasan media di negara ini.

Akhbar The Heat dalam laporan bertajuk "All Eyes On Spending PM Najib" November lalu mempersoalkan perbelanjaan Perdana Menteri dan isteri beliau.

Ekoran daripada itu, akhbar tersebut menerima surat tunjuk sebab daripada KDN seterusnya digantung permit penerbitan.

Menurut Nikson, KDN sewajarnya tidak dipengaruhi atau dikawal oleh mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri,isteri Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tetapi bersikap profesional memandangkan laporan The Heat itu tidak dilihat sebagai menggugat keselamatan negara.

“Jingga 13 mendesak agar Kementerian Dalam Negeri menghentikan tindakan tidak demokratik dan menarik balik penggantungan permit akhbar The Heat. Tindakan Kementerian Dalam Negeri akan terus dilabel sebagai antidemokrasi dan sudah pasti memberikan kesan negatif kepada gerakan kebebasan media,” ujarnya.

Ujar Nikson, imej boros  dan mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak boleh ditutup oleh tindakan terhadap akhbar The Heat.

“Di saat rakyat bergelut dengan pelbagai kenaikan , Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terus memberikan imej negatif kepada rakyat dan negara,” kesal beliau.



Tuesday, 17 December 2013

Pemegang konsesi tol sudah untung besar kadar sedia ada.


RAFIZI RAMLI

Saya telah menegaskan bahawa cadangan dan alasan kenaikan tol seperti yang dipertahankan oleh Datuk Seri Wahid Omar tidak masuk akal kerana majoriti dari pemegang konsesi adalah dikuasai kerajaan. Malah, syarikat-syarikat ini juga mendapat bantuan kewangan dan subsidi dari kerajaan melaksanakan dan mengendalikan lebuhraya bertol.

Sebab itu, kenyataan Datuk Seri Wahid Omar cuba mengelirukan rakyat apabila beliau membayangkan bahawa Barisan Nasional perlu tunduk kepada syarikat-syarikat swasta yang kononnya memilik syarikat pemegang konsesi, sedangkan hakikatnya syarikat ini kebanyakannya syarikat milik kerajaan.

Saya juga membidas sekeras-kerasnya keangkuhan Datuk Seri Wahid Omar yang memberi kata dua kepada pengguna jalanraya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan tol. Walaupun beliau sebelum ini dibayar gaji berjuta ringgit setahun dan sudah tentu tidak memahami kepayahan rakyat di bawah berhadapan dengan kenaikan harga barang, sepatutnya beliau mengambil kira kebajikan rakyat dalam melaksanakan tugas sebagai menteri. Kehadiran menteri-menteri seperti ini membuktikan betapa terpisahnya kabinet Dato’ Seri Najib Tun Razak dari realiti seharian rakyat.

Saya membantah keras cadangan menaikkan kadar tol kerana rekod kewangan syarikat pemegang konsesi menunjukkan mereka telah pun mendapat keuntungan berlipat kali ganda (obscene profits) pada kadar tol sekarang. Setiap kenaikan kadar tol sebenarnya menambahkan lagi keuntungan mereka sedangkan rakyat terus terbeban dengan tekanan ekonomi.

Pampasan yang dibayar oleh kerajaan bukanlah satu bentuk subsidi yang diwar-warkan oleh Barisan Nasional. Subsidi bermakna belanja yang dikeluarkan kerajaan untuk menampung kos sesuatu barangan atau perkhidmatan supaya harganya boleh dikekalkan pada paras yang lebih rendah.

Dalam kes kenaikan kadar tol, jumlah kos yang ditanggung pada kadar tol sekarang pun sudah terlalu rendah hingga memberikan keuntungan yang terlampau tinggi kepada pemegang konsesi. Oleh itu, sebarang kenaikan kadar tol sebenarnya sama dengan kerajaan mencukai rakyat dengan cukai tambahan kerana keuntungan syarikat-syarikat pemegang konsesi yang dimiliki kerajaan ini akhirnya kembali ke kantung Putrajaya untuk diborosi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kabinetnya.

Analisa keputusan kewangan PLUS Berhad (yang mengendalikan 6 lebuhraya), KESAS Berhad dan LITRAK Berhad (yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong dan SPRINT) menunjukkan kadar keuntungan yang melampau telah pun dinikmati oleh pemegang-pemegang konsesi, seperti berikut:

1) PLUS Berhad (keputusan kewangan bagi tahun 2011 dan perincian kos bagi tahun 2010 berdasarkan Laporan Tahunan PLUS)

Jumlah kutipan tol & perolehan (2011)
RM4.098 bilion
Jumlah kos menyenggara lebuhraya (mengikut kos 2010)

RM241 juta
Jumlah kos penggajian, pentadbiran dan lain-lain (mengikut kos 2010)

RM397 juta
Jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan (mengikut kos 2010)

RM507 juta
Anggaran keuntungan dari operasi tanpa caj susutnilai 2011 (mengikut kos 2010)

RM2.953 bilion
Keuntungan bersih sebelum cukai dengan caj susutnilai (2011)

RM2.515 bilion
% untung bersih sebelum cukai ( 2011)

61%

Tidak banyak perniagaan di dunia ini yang mencapai peratus untung bersih sehingga 61% seperti yang dicatatkan oleh PLUS Berhad. Melihatkan kepada kos untuk menyenggara lebuhraya hanyalah 6% dari jumlah kutipan tol setiap tahun sudah cukup menunjukkan bahawa kadar tol sedia ada sudah pun terlalu tinggi dan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada PLUS.

2) KESAS

Lebuhraya KESAS mencatatkan keuntungan berganda sehingga 121% secara terkumpul (cumulative annual growth rate atau CAGR) di antara tahun kewangan 2008 hingga tahun kewangan 2012 seperti dilaporkan oleh Maybank Investment Bank Research bertarikh 6 November 2013.

Kadar keuntungan yang naik satu kali ganda dalam tempoh empat tahun ini juga membuktikan bagaimana kadar tol sudah pun terlalu tinggi hingga pemegang konsesi menikmati keuntungan yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh hanya 4 tahun.

3) Litrak Berhad yang mengendalikan LDP dan SPRINT (keputusan kewangan bagi tahun 2013 mengikut Laporan Tahunan terkini)

Jumlah kutipan tol & perolehan
RM369 juta
Jumlah kos menyenggara lebuhraya
RM21 juta
Jumlah kos penggajian, pentadbiran dan lain-lain

RM29 juta
Jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan

RM79 juta
Keuntungan dari operasi tanpa caj susutnilai

RM240 juta
Keuntungan bersih sebelum cukai dengan caj susutnilai

RM180 juta
% untung bersih sebelum cukai
49%

Seperti juga pemegang konsesi yang lain, Litrak Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menikmati margin keuntungan bersih sebelum cukai yang begitu tinggi pada kadar 49% iaitu lebih tinggi dari industri minyak dan gas. Kos menyenggara lebuhraya juga hanyalah 6% sahaja dari jumlah kutipan tol.

Ini membuktikan bahawa kadar tol sedia ada sudah terlalu tinggi hingga memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi.

Pada masa yang sama, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya meningkat saban tahun.

Jadual berikut menunjukkan kadar pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun yang dinikmati pemegang-pemegang konsesi besar di Malaysia seperti yang dilaporkan di dalam laporan tahunan masing-masing dan pelbagai analisa lain:

LEBUHRAYA
TAHUN
JUMLAH KENDERAAN
% PENINGKATAN
PLUS
2010
417 juta setahun
8%
LDP
2013
497,000 seminggu
3.3%
Sprint
2013
237,000 seminggu
4.4%
KESAS
2013
290,000 sehari
5.0%
Maju Expressway
2010
78,962 sehari
8.1% lebih tinggi dari jumlah mengikut perjanjian

Angka-angka yang saya bentangkan secara jelas menunjukkan bagaimana pemegang-pemegang konsesi utama menikmati kutipan tol yang lebih tinggi kerana jumlah kenderaan yang bertambah telah pun melampaui sasaran kenderaan yang digunakan untuk menetapkan kadar tol sedia ada.

Dalam keadaan kos operasi sudah pun rendah (bagi sesetengah lebuhraya kos penyenggaraan tidak sampai 10% pun dari kutipan tol), keuntungan yang dinikmati merupakan antara yang tertinggi berbanding industri-industri lain. Oleh sebab itu, sebarang kenaikan kadar tol menghina rakyat pada kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah pun terlalu tinggi.