Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak membidas keras tindakan penganjur dan peserta demonstrasi ‘Baju Merah’ yang berlangsung dengan penuh sentimen perkauman dan kebencian semalam.
Walaupun kita meraikan hak berhimpun dan hak bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun tindakan pihak baju merah tersebut yang hanya bersandarkan kepada isu-isu perkauman wajar dikritik keras kerana ianya mencemarkan hak-hak kemanusiaan tersebut. Sepanjang demonstrasi tersebut dapat diperhatikan pelbagai unsur-unsur perkauman dimainkan dari awal himpunan tersebut. Pelbagai sepanduk dan slogan perkauman dilaungkan. Bangsa Cina juga dijadikan sebagai sasaran utama dengan pelbagai kata-kata hinaan yang boleh menyebabkan perbalahan antara kaum sekiranya tidak dikawal.
Kehadiran ramai pemimpin-pemimpin UMNO Barisan Nasional juga jelas menunjukkan sokongan mereka terhadap sentimen perkauman. Ini menunjukkan Slogan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Najib Razak hanyalah omongan kosong dan tidak disusuli dengan sebarang tindakan yang mencerminkan semangat persaudaraan antara kaum!
AMK Sarawak seterusnya mengajak pendokong ‘baju merah’ untuk melihat Sarawak yang mempunyai 28 etnik besar dan hidup secara harmoni sebagai contoh dan rujukan bagi mengetahui maksud sebenar keharmonian. AMK Sarawak berharap agar ianya dapat melahirkan Malaysia yang lebih harmoni dan bebas daripada perkauman! Dengan keadaan ekonomi yang semakin parah sekarang, kita sewajarnya fokus untuk memantapkan ekonomi dan bukannya undur ke belakang dan terperangkap dengan isu perkauman.
AMK Sarawak juga berharap mereka yang hadir semalam agar bermuhasabah diri. Janganlah kita sempitkan pemikiran kita kepada perkauman atas nama pertahankan hak Melayu Islam tetapi dalam masa yang sama menghina bangsa dan agama lain. Melayu yang terbaik adalah Melayu yang Islamis dan bukannya rasis dan Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi rasis!
Sejajar dengan semangat Hari Malaysia, kita sewajarnya mengukuhkan persaudaraan antara kaum dan memajukan Malaysia ke hadapan!
Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia.
SAIFUNNIZAM SAM
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sarawak
No comments:
Post a Comment