Tuesday 7 April 2015

Rasuah Taib Mahmud : Jingga13 Desak Najib dan SPRM Jelaskan Pada Rakyat.

Kenyataan Media
JINGGA 13 SARAWAK

7 April 2015 

Rasuah Taib Mahmud : Jingga13 Desak Najib dan SPRM Jelaskan Pada Rakyat 

Jingga 13 Sarawak mendesak Perdana Menteri menjawab kenapa hingga kini pihak berkuasa enggan mendakwa Tan Sri Abdul Taib Mahmud, walaupun pelbagai bukti menunjukkan Ketua Menteri Sarawak itu terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri perlu menjelaskan mengapa tiada sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan pihak berkuasa lain terhadap Taib walaupun beberapa laporan rasuah telah dibuat.

Beberapa siri laporan telah dibuat kepada SPRM Sarawak pada 2009 dan 2010, namun tiada perkembangan positif. Jawapan diberi tetap sama, 'siasatan sedang berjalan'.

Kali terakhir pada 2011, mereka beri alasan 'tidak boleh mengulas lebih-lebih' kerana ia kini diambil alih SPRM Putrajaya maka memandangkan ianya dikendalikan oleh Putrajaya maka kami rasa sudah tiba masanya Najib buka mulut dan jawab segera isu ini.

Keengganan Najib mengheret Taib ke mahkamah kerana beliau masih menaruh harapan kepada Gabenor Sarawak itu membantu kemenangan BN pada pilihan raya negeri (PRN11) akan datang.

Najib sebenarnya takut, namun pada masa sama beliau masih percaya Taib akan membantu BN menang di Sarawak pada PRN11 akan datang.

Pada 19 September lalu, NGO yang berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan aset keluarga Taib sebanyak AS$21 bilion (RM64 bilion).


Kekayaan Taib sahaja dianggar AS$15 bilion (RM46 bilion), sekaligus menjadikannya lelaki terkaya di Malaysia, mengatasi hartawan Robert Kuok dengan aset AS$12.5 bilion.

Laporan berjudul “The Taib Timber Mafia: Facts and Figures on Politically Exposed Persons from Sarawak, Malaysia” dikeluarkan di Brussels pada hari sama Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok melawat Suruhanjaya Eropah.

Ia laporan pertama mengupas perincian aktiviti perniagaan dan kekayaan peribadi 20 ahli keluarga Taib di Malaysia, Australia, Kanada, Hong Kong, United Kingdom, Amerika Syarikat dan lain-lain negara.

Kekayaan luar biasa Taib itu menunjukkan betapa teruk salahguna kuasa melibatkan Ketua Menteri paling lama di Malaysia itu.

Lebih 30 tahun memerintah, terbukti kekayaan negeri hanya dibolot keluarga dan kroni beliau, namun majoriti rakyat Sarawak kekal miskin, malah negeri ini antara yang termiskin di Malaysia.

Secara keseluruhannya Jingga 13 Sarawak mendapati bahawa terdapat berpuluh-puluh laporan di seluruh utara Sarawak terhadap pembalakan haram dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia, alam sekitar dan penduduk kampung serta individu. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun daripada laporan-laporan ini disiasat oleh pihak polis, SPRM atau Jabatan Perhutanan. 

Jingga 13 Sarawak berhak menuntut Perdana Menteri Najib Razak untuk memberikan jawapan segera dan bukan alasan lapuk yang diulang-ulang untuk menyelamatkan individu-individu tertentu.

NIKSON ABDILLAH
KOORDINATOR JINGGA 13 SARAWAK

No comments:

Post a Comment