Wednesday, 25 June 2014

UMNO berpolitik untuk mempertahankan kuasa ekonomi peribadi dan kroni.

Semenjak kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU12 kita melihat semakin galak munculnya NGO-NGO yang memakai jubah 'hijau' berjanggut dan berserban untuk menyuarakan 'garis Melayu'. Kita terbaca nama Perkasa, Jati, Jaringan Melayu dan paling baru Isma. Ini hanyalah nama-nama NGO yang sempat kita ingati. Walhal ada puluhan malah ribuan lagi NGO jenis Melayu yang diwujudkan oleh akhbar jala - Penyebar Fikiran Rakyat.

Apabila 52 peratus warga Malaysia menolak United Malays National Organisation dan Pakatan Rakyat memenangi seluruh undi popular di Tanah Melayu dan di Sabah dan Serawak – maka NGO-NGO Garis Melayu ini semakin kuat raungannya. Siang malam mereka mendodoi dan meroyan kerana tuan mereka sedar bahawa kalau tidak dengan penipuan yang dirancang oleh SPR – parti United Malays National Organisation telah terkambus.

Tanpa penipuan SPR dalam PRU13 negara Malaysia pasti telah terlepas dari cengkaman Rosmah dan Najib. Tanpa SPR menipu dalam PRU13 Malaysia telah kembali dimiliki oleh rakyat untuk menjadi sebuah negara yang lebih adil dan lebih demokratik untuk keselesaan anak semua bangsa.

Tetapi apakah sebenarnya NGO Melayu Islam ini? Kenapa mereka meraung? Bagaimana boleh kita memahami NGO ini? Siapa tuan NGOini? Dan apa peranan NGO Melayu Islam ini?

Sekali lagi saya wajib menerangkan kepada pembaca yang budiman bahawa politik ialah ekonomi. Tujuan berpolitik ialah untuk merampas kuasa politik. Dengan kuasa politik segala punca ekonomi akan dapat dimiliki.

Pakatan Rakyat berpolitik kerana mahu mendapatkan punca-punca ekonomi negara ini. Dengan menguasai punca ekonomi Pakatan Rakyat berkemungkinan mengagih-agih punca ekonomi ini dengan lebih adil kepada orang ramai.

Manakala United Malays National Organisation berpolitik untuk mempertahankan kuasa ekonomi yang mereka miliki. Dengan kuasa ekonomi yang ada dalam tangan, parti ketuanan Melayu bersama konco-konconya boleh merampok dan menjarah ekonomi negara tanpa halangan atau dakwa-dakwi. Dengan kuasa politik parti ketuanan Melayu ini dapat memperkayakan kroni dan anak bini mereka. Dengan kuasa ekonomi parti ketuanan Melayu ini dapat membeli kuasa politik, mengupah polis dan SPR untuk mempertahankan kuasa mereka.

Justeru pertembungan Pakatan Rakyat dengan United Malays National Organisation ialah perebutan punca ekonomi. Jika ada si polan yang gagal memahami perkara asas ini maka si polan ini akan gagal memahami apa itu politik dan apa itu politik di Malaysia. Gagal memahami asas ekonomi maka akan gagal memahami asas politik. Politik ialah manifestasi ekonomi. Berpolitik bertujuan untuk merangkul dan memiliki punca ekonomi.

Agama, bangsa, bahasa – semua ini – bukan kemudi politik. Agenda ini muncul dan atau dilahirkan hasil dari pertembungan perebutan ekonomi. Justeru, jika kita terus melihat agama, bangsa, bahasa sebagai kemudi politik Malaysia maka kita memiliki pandangan salah. Politik di Malaysia, malah di mana-mana pun politik dalam dunia ini semua dikemudikan oleh ekonomi.

Malah, dalam persidangan OIC atau muktamar Nahdatul Ulama atau muktamar Muhammadiah di Indonesia atau muktamar PAS saban tahun,yang menjadi kemudi perbincangan ialah ekonomi. Pelbagai parti politik Islam atau pertubuhan Islam ini berbincang dalam muktamar mereka untuk mencari jalan memperbaiki taraf ekonomi ummah. Pemimpin parti akan bermuktamar dan bertekad untuk mengeluarkan ummah dari lembah kemiskinan.

Amerika menyerang Iraq dikatakan kerana 'senjata pemusnah' yang dimiliki oleh Saddam Hussein. Tetapi dunia tahu Amerika datang menyerang kerana minyak. Minyak ialah punca ekonomi. Obama datang ke Kuala Lumpur untuk memaksa Najib menanda tangani perjanjian TPPA. Perjanjian TPPA ini ialah perjanjian ekonomi.

Justeru suara dari Perkasa atau dari Isma walau pun bunyinya Melayu, walaupun bunyinya Islam tetapi di belakang Melayu dan Islam ini ialah perebutan ekonomi.

Penganut fahaman Isma atau penganut fahaman Perkasa mengeluarkan kenyataan rasis anti-Cina kerana ekonomi. Pengikut NGO ini melihat secara jelas dengan mata kepala mereka bahawa Orang Cina di Malaysia ini lebih kaya. Orang Cina lebih berwang, lebih senang kehidupan mereka dari orang Melayu. Orang Cina memiliki kota perniagaan, harta orang Cina dalam bandar bernilai tinggi, bangunan dan gedung perniagaan hampir dalam semua kota, pekan dan bandar dimiliki oleh orang Cina.

Jika dibandingkan antara orang Melayu dengan orang Cina, amat jelas orang Cina lagi kaya. Pandangan ini bukan satu pandangan salah.

Ahli Isma dan Perkasa melihat hakikat wujudiah ekonomi yang terpampang di mata mereka maka lahirlah kenyataan awal bahawa Orang Cina di Malaysia ini adalah kaum pendatang. Dari kaum pendatang, kini orang Cina telah ditakrif oleh Isma sebagai kaum penceroboh. Kebencian terhadap Cina itu ialah kebencian kerana ekonomi dan kekayaan di Malaysia ini tidak menjadi milik ahli Isma dan ahli Perkasa.

Kemarahan Isma ini adalah kemarahan ekonomi yang dimanifestasikan dalam bahasa rasis. Ini sama seperti apa yang telah berlaku di Jerman pada tahun-tahun sebelum meledaknya Perang Dunia Kedua. Sebelum Perang Dunia Kedua, ekonomi Jerman malah ekonomi Eropah semuanya dimiliki dan dinaungi oleh kaum Yahudi. Malah dari sinilah lahirnya fahaman Nazi yang ingin mengembalikan hak Jerman kepada Jerman.

Pandangan Nazi dan rasisme khususnya di Jerman, dan umumnya di Eropah, berlatar belakangkan kekuatan parti Komunis, parti Sosialis dan gerakan kaum buruh. Ketika ini Sosialis Rusia dilihat sebagai negara contoh dan menjadi idaman kaum buruh di seluruh Eropah dan dunia. Maka garis politik kiri dan parti Komunis dianggap sebagai musuh utama yang menghalang kelahiran Bani Aryan – kaum kulit putih yang seharusnya menjadi tuan untuk dunia.

Sayugia dingatkan bahawa di belakang parti Nazi Hitler adalah taikun dan tuan-tuan pemilik bank, tuan pemilik kilang besi, tuan pemilik kilang kereta dan tuan pemilik syarikat gergasi. Kaum industrialis Jerman dan para taikun inilah yang memelihara Hitler dan mereka yang sewaktu dengannya.

Apa yang ingin saya gambarkan, wujudnya persamaan apa yang berlaku di Jerman pada tahun-tahun 1930-an dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang. Apakah kenyataan saya ini keterlaluan? Apakah kenyataan saya ini tidak berpijak di bumi nyata?

Mari saya terangkan agar kita semua tidak mengambil sikap yang salah terhadap Isma atau Perkasa. Memang ramai akan ketawa apabila nama Ibrahim Ali disebut. Watak Tok Heng ini dilihat sebagai badut politik. Ramai yang yakin bahawa tidak ada apa-apa yang tersimpan antara dua telinga Tok Heng. Tok Heng dianggap sebagai katak. Awas!

Begitu juga dengan Isma yang dianggap lebai kampung yang mencari makan dengan menjual agama. Ahli Isma adalah mereka yang gagal dalam persekolahan lalu maka mereka berhijrah ke Timur Tengah untuk jadi tok Lebai. Sebenarnya pandangan ini mungkin tepat dan mungkin salah tetapi awas!

Hitler juga adalah seorang pelajar yang gagal untuk memasuki sekolah seni di Vienna. Kerana gagal dalam bidang seni Hilter menjadi soldadu. Pencapaian tertinggi Hitler hanya ke tahap tok sarjan. Tetapi awas dan waspada siapa di belakang Hitler, siapa di belakang Tok Heng dan Isma. Inilah yang wajib difahami.

Setelah PRU-12 pada 2008 berlangsung, saya amat yakin telah ada perbincangan yang teratur – perbincangan tentang taktik dan strategi untuk mempertahankan kuasa politik United Malays National Organisation. Ini mungkin perbincangan tertutup yang hingga ke hari ini tidak diketahui siapa yang hadir. Mustahil perbincangan ini tidak wujud. Saya amat yakin ianya telah berlaku malah bukan satu perbincangan sahaja. Besar kemungkinan satu 'badan' atau satu ' jawatankuasa kerja' telah dimunculkan.

Ingati kembali sejarah bagaimana Khalid Samad telah mengakui yang dia telah terlibat dalam perbincangan sulit pada malam pertama eatelah Pakatan Rakyat mendapat lima buah negeri pada tahun 2008. Khalid dijemput untuk berbincang dengan Pak Lah dalam usaha untuk menubuhkan kerajaan campuran ketuanan Melayu dengan parti PAS. Ini bukan fitnah. Ini fakta sejarah.

Perancangan ini wujud kerana pada hakikatnya sesudah PRU12 United Malays National Organisation telah bungkus. Maka dari sinilah munculnya strategi: Melayu/Islam/raja. Secara dirancang kita lihat bagaimana Hasan Ali yang kecewa tidak dapat menjadi menteri besar Selangor telah muncul dengan agenda karipap basi yang dipanggilnya Melayu, Islam dan raja.

Melayu, Islam dan raja ini sedang dijaja oleh Jati, Perkasa dan Isma. Tiga perkara ini disadur pula dengan hak keistimewaan Melayu. Dan sekali sekala tiga perkara ini akan dililit pula dengan Perlembagaan Persekutuan.

Apa sebenarnya raja, Islam dan Melayu ini? Siapa sebenarnya di belakang Isma dan Perkasa ini? Jika kita rajin, sila baca kembali sejarah kebangkitan Hitler di Jerman. Lihat dan fahami bagaimana di belakang retorik Bani Aryan yang berkulit putih bermata biru adalah kaum pemodal yang merasa tergugat oleh sokongan ampuh kaum buruh terhadap parti Komunis.

Jangan terperanjat di belakang Hilter yang dikatakan anti-Yahudi itu ialah kaum Zionis sendiri yang melihat projek Aryan Hitler ini akan membawa manfaat. Apakah kita hairan apabila dibocorkan bahawa Ibrahim Ali yang anti Cina juga pernah menjadi lembaga pengarah syarikat Vincent Tan. Dan siapakah agaknya di belakang Genting dan empat nombor ekor? 



sumber :  http://www.malaysiakini.com/columns/265139

No comments:

Post a Comment