Saturday, 21 June 2014

Kronologi Pembunuhan Warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Kes Pembunuhan Altantuya Shaariibuu adalah kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku di Malaysia. Di dalam kes ini, seorang rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibunuh secara kejam di kawasan berdekatan Shah Alam, Selangor, Malaysia. Enam orang ditahan dan disiasat berhubung dengan kejadian ini. Kes ini berprofil tinggi kerana ia melibatkan Abdul Razak Baginda, seorang yang rapat dengan perdana menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Pembunuhan

Altantuya Shaariibuu telah dijumpai secara ngeri di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, berdekatan Shah Alam, Selangor di antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Mayatnya ditemui pada 7 November 2006 iaitu 17 hari selepas dia diletupkan dengan bahan letupan C4.
Lokasi itu berdekatan dengan Empangan Tasik Subang. Beliau merupakan model sambilan dari Ulan Bator, ibu negara Mongolia, utara China. Cebisan mayat Altantuya ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.
Pakar patologi mengesahkan cebisan mayat itu milik Altantuya dan disyakki dibunuh dengan letupan C4 iaitu probable blast related injuries (kecederaan berkaitan letupan).
Enam orang ditahan termasuk Abdul Razak Baginda Cif Inspektor Azilah Hadri (30 tahun) dan Koperal Sirul Azhar Umar (35 tahun). Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dari Unit Tindakan Khas. Dua lelaki penyiasat persendirian (45 dan 35 tahun ) disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut. Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid meluluskan permohonan polis bagi menahan reman dua bekas anggota polis itu dan kini ditahan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Malaysia.
Seorang Cif Inspektor dari Unit Tindakan Khas, seorang Lans Koperal wanita dari Kontinjen Polis Petaling Jaya dan seorang konstabel turut ditahan reman 7 hari. Mereka ditahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes bunuh.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan beliau telah meminta bapa, ibu dan anak Altantuya yang menetap di Ulan Bator, Mongolia untuk datang ke Malaysia bagi memberi keterangan dan ujian darah DNA.
Para pegawai pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara, anggota Jabatan Forensik Bukit Aman serta pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) membuat pemeriksaan semula di Empangan Subang, Puncak Alam, Shah Alam , Selangor.

Razak Baginda

Abdul Razak Baginda dikatakan mempunyai hubungan intim dan sulit dengan Altantuya. Beliau merupakan seorang penganalisis politik yang begitu prolifik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Analisis beliau tentang isu-isu politik dan pertahanan di Afghanistan, Iraq dan Palestin diterima umum sebagai pendapat atau senada dengan pendapat rakyat Malaysia.
Razak Baginda yang berumur 46 tahun, menjadi ketua institut pemikir tempatan direman selama 5 hari kerana menculik dan berniat mengurung Altantuya. Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, beliau boleh dipenjara sehingga 7 tahun dan dekenakan denda.
Rumah Razak Baginda di Bukit Bandaraya dan di Damansara Height digeledah oleh pihak polis bagi mendapatkan sebarang maklumat. Pasport, komputer riba, komputer peribadi dan beberapa barangan peribadi lain telah diambil untuk dianalisis.
Peguam Razak Baginda ialah Datuk Muhammad Shafee Abdullah memantau barang-barang yang diambil oleh pihak polis.
Pada 11 November 2006, Razak Baginda dimasukkan ke Wad Kecemasan , Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat asma dan penimbunan cecair dalam paru-paru selepas mengadu sakit dada.Kini dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari HKL dengan kawalan polis.
Pada 16 November 2006, Abdul Razak Abdullah Baginda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.Razak didakwa bersubahat membunuh Altantuya, 28, dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No. 148, Jalan Ampang di sini antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi, 18 Oktober 2006.
Razak didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama. Jika disabitkan dengan kesalahan, Abdul Razak boleh dihukum gantung sampai mati.
Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani pada kira-kira pukul 12.47 tengah hari disaksikan oleh ahli keluarga Abdul Razak termasuk ibu bapanya, isteri yang merupakan seorang peguam, Mazlinda Makhzan dan anaknya, Rowina, 19 tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin dan Noorin Badaruddin manakala Abdul Razak diwakili dua peguam bela, Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan M. Puravelan.

Altantuya mengugut

17 Oktober 2006 Altantuya datang ke rumah Abdul Razak di Damansara. Altantuya telah buat kecoh dan polis telah membawanya ke Balai Polis Brickfield. Altantuya berhenti di kaunter depan dan seperti hendak membuat laporan polis. Ang Chong Beng mengheret Altantuya keluar dahulu dan buat perundingan yang menguntungkan ' menang menang' terlebih dahulu.
Altantuya telah menuntut USD500,000 dan tiga tiket penerbangan ke Mongolia daripada Abdul Razak. Tuntutan itu ketika Balasubramaniam, penyiasat persendirian Ang Chong Beng dan Balasubramaniam berada di luar Balai Polis Brickfield antara jam 11.00 - 12.00 malam. Altantuya menuntut wang itu selepas Ang Chong Beng memujuk Altantuya tidak membuat laporan polis mengenai Abdul Razak. Balasubramaniam setuju akan memaklumkan kepada Abdul Razak dan akan memaklumkan semula kepada Ang Chong Beng melalui telefon jika ada perkembangan lanjut.
19 Oktober 2006 sekitar 7.20 malam Altantuya dan 2 teman wanita melintasi rumah Abdul Razak di Damansara. Altantuya datang dengan teksi tapi tidak berhenti. Balasubramaniam yang berkawal di rumah Abdul Razak , telah menelefon Abdul Razak.
Ketika itu Abdul Razak tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa dan meminta supaya Balasubramaniam mengawasi rumahnya. Dia hendaklah menghantar SMS jika Altantuya datang ke rumahnya.
Setengah jam kemudian ( 8.00 ) Altantuya datang semula dengan teksi seorang diri, tanpa 2 teman wanita lain.
Altantuya telah bercerita dengan Balasubramaniam tentang 'nasib malang'nya . Abangnya suruh ugut Abdul Razak konon menebus apartmen di Mongolia yang dipertaruhkan dalam perjudian. Ibunya mengidap mengidap penyakit barah dan terlantar di hospital. Altantuya memberitahu dia tiada wang untuk membayar bil-bil penginapan di Hotel Malaya.
Altantuya marah-marah di depan pagar rumah Abdul Razak dengan kata-kata: "You bastard, come out I want to see." Tapi Abdul Razak tak keluar-keluar.
Selepas kecoh, Altantuya dibawa pergi dengan kereta peronda polis tanpa paksaan, tetapi sukareka masuk ke dalam kereta peronda polis. Polis itu membuat satu panggilan telefon, tapi tak tahu kepada siapa.
Polis itu memberitahu Balasubmaniam bahawa Altantuya akan dibawa pergi. Selepas Altantuya bertanya, Balasubmaniam memberitahu dua lelaki itu ialah saudara Abdul Razak ( sepatutnya polis). Kemudian beritahu polis akan tangkap dia. Dia sendiri pergi ke kereta Proton Wira dan duduk di bahagian belakang. Wanita di depan kereta itu beralih tempat ke belakang. Lelaki di belakang beralih tempat ke depan kereta.
Abdul Razak berkata 'ok' apabila Balasubramaniam memaklumkan melalui telefon bahawa Altantuya dibawa oleh polis.
Pemandu teksi berang kerana Altantuya tidak bayar RM150.00 seperti dijanjikan. Polis yang menaiki Wira hanya membayar RM50.00 dan 100.00 lagi mintalah daripada Balasubramaniam. Esoknya baki tambang itu dibayar oleh Subramaniam.
Abdul Razak tahu kehadiran Altantuya di hadapan rumahnya malam itu dan minta Balasubramaniam 'melayan' sehingga 'orang-orangnya' sampai. 'Orang-orangnya' itu ialah Azilah Hadri dan Sirul Azhar. Altantuya dibawa dengan Proton Wira merah oleh dua anggota polis itu.
20 Oktober 2006 jam 2.00 - 3.00 petang Balasubramaniam menemui Abdul Razak di pejabatnya bagi menuntut baki bayaran perkhidmatan Rm2000.00 lagi.
Balasubramaniam tanya Abdul Razak di mana Altantuya ditahan tapi dia tanya balik soalan yang sama dan meneka di mana Altantuya ditahan. Balasubramaniam meneka Altantuya mungkin ditahan di Balai Polis Travers atau penjara Cawangan Khas di Jalan Ipoh.
20 Oktober 2006 jam 11 malam Ang Chong Beng, Uuriintuya Gal Ochir dan Namiiraa Gerelmaa datang ke rumah Abdul Razak di Damansara dan menjerit-jerit "Altantuya dikurung dalam rumah, bebaskan Altantuya".
Kemudian seorang inspektor polis telah datang setelah Ang menelefon polis dan melaporkan misteri kehilangan Altantuya.
21 atau 22 Oktober 2006 : Abdul Razak menghubungi Balasubramaniam untuk membuat laporan polis di Balai Polis Brickfield.
Abdul Razak tidak pernah mengupah Balasubramaniam untuk membunuh atau mencederakan Altantuya.Tetapi suruh 'tunggu' sehingga Altantuya kehabisan wang dan dengan sendiri balik ke Mongolia. Malahan Abdul Razak tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku kepada Altantuya.
Abdul Razak ada memberitahu Balasubramaniam bahawa Abdul Razak akan ke Hong Kong 24 Oktober 2006 iaitu Hari Raya Aidil Fitri pertama, anaknya Roweena Abdul Razak dan isterinya Mazlinda Makhzan akan ke London pada 25 Oktober 2006, hari raya kedua. Lantaran itu Abdul Razak merasakan laporan polis tidak perlu kerana akan mengganggu tugasnya itu.
Perkhidmatan Balasumbramaniam ditamatkan secara tiba-tiba oleh Abdul Razak kerana Suras Kumar ( pembantu Balasubramaniam) terlalu rapat dengan Altantuya dan dua rakannya.
Abdul Razak memberitahu Balasubramaniam nombor bilik Hotel Malaya tempat Altantuya menginap.
1 November 2006 : Balasubramaniam dipanggil oleh ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk sesi kawat cam dan diberitahu tentang pembunuhan Altantuya.
Selepas itu Balasubramaniam memaklumkan kepada Abdul Razak bahawa Altantuya telah dibunuh. Padahal tugasnya telah ditamatkan pada 26 Oktober 2006. Abdul Razak menghantar ugutan sms ( forward) daripada Amy .(saudara Altantuya)
Antara 26 Oktober 2006 hingga 7 November 2006, Balasubramaniam menelefon Abdul Razak beberapa kali berhubung Altantuya tetapi Abdul Razak menyatakan dia sendiri tidak tahu.
Balasubramaniam telah direman ( ditahan) dua kali ( 3 hari dan 7 hari ) oleh Mahkamah Majistret bagi membantu suasatan.

Pakatan bunuh

Prosiding dimulakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Jun 2007. Lebih 100 saksi akan dipanggil dan jika tiga tertuduhn sabit kesalahan, hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kes ini amat bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan, keterangan pakar, keterangan saintifik, keterangan dokumenteri, pengakuan tertuduh kedua kepada pegawai atasannya dan beberapa keterangan lain di samping mengaitkan beberapa barang kes yang dijumpai.
Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, dituduh bersuhabat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar . Abdul Razak didakwa membuat pakatan dan rancangan bunuh di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Okt 2006.
Pakatan bunuh dengan cara letupan C4 diadakan di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi pada 18 Okt dan 9.45 malam pada 19 Okt 2007.

Rentetan peristiwa

Pada Ogos 2005 hubungan intim Abdul Razak dengan Altantuya terputus tetapi masih memberi wang kepada Altantuya apabila dituntut.
Januari 2006, Abdul Razak mula enggan melayan tuntutan wang itu , lantas Altantuya terdesak ke Malaysia beberapa kali untuk menuntut sendiri daripada Abdul Razak.
8 Oktober 2006 Altantuya ke Malaysia ditemani dua teman wanita dari Mongolia untuk menemui Abdul Razak di pejabat tapi Abdul Razak enggan ditemui. Altantuya meninggalkan nota-nota .
Altantuya melantik penyiasat persendirian untuk mencari alamat rumaj Abdul Razak. Altantuya dikatakan mengugut akan mengancam nyawa Roweena Abdul Razak (anak Abdul Razak) jika tuntutan wang gagal.
Akibat enggan melayan tuntutan dan karenah Altantuya Abdul Razak melantik B Balasubramaniam seorang pegawai penyiasat persendirian bagi mengekori Altantuya, mengawal rumahnya (Abdul Razak) untuk mengelak daripada terus diganggu . Namun Altantuya terus mengganggunya.
Selepas Azilah menemui Abdul Razak, Azilah membawa pembantunya Sirul Azhar ke lobi Hotel Malaya di mana Altantuya menginap. Sekeping nota tercatat nama penyiasatan persendirian yang dilantik Abdul Razak, alamat hotel Altantuya dirampas di pejabat Abdul Razak.
Abdul Razak enggan menemui Altantuya di pejabatnya . Lalu Altantuya ke rumah Abdul Razak di __ dan Altantuya mahu buat laporan polis.
Sebelum itu, Abdul Razak melalui Balasubramaniam Perumal,penyiasat persendiriannya menasihati Altantuya tidak membuat laporan polis kerana akan menjejaskan reputasinya.Abdul Razak juga mahu pihak Imigresen menghantar simati pulang tetapi tidak berjaya.

Pembebasan

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh Altantuya. Tiga anggot panel hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.
Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka. Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan. Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert. Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.
Timbalan Peguamcara Negara III, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.
Dalam penghakiman, mahkamah mengemukakan lapan alasan bagi pembebasan Azilah dan Sirul Azhar. Menurut Hakim Tengku Maimun:
  • mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah.
  • Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini.
  • Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak membuat sebarang dapatan mengenai sama ada pihak pendakwa telah membuktikan mengenai kewujudan perancangan awal oleh dua anggota polis itu untuk melakukan pembunuhan dan pembunuhan itu dilakukan rentetan daripada perancangan awal itu. Ketiadaan dapatan sebegitu oleh hakim perbicaraan yang bijaksana mengenai ramuan niat bersama yang membawa kepada penyalaharahan dengan cara tanpa arahan.
  • Mengenai log panggilan dan ramalan liputan, beliau berkata mahkamah mendapati keterangan oleh tiga saksi daripada beberapa syarikat telekomunikasi telah membawa kepada isu kebolehpercayaan dan ketepatan log panggilan dan ramalan liputan.
  • Amat penting untuk hakim perbicaraan menumpukan pada cabaran dibangkitkan oleh pihak pembelaan mengenai eksibit dan untuk membuat dapatan sama ada terdapat pindaan atau gangguan terhadap data dan sama ada ketulenan data boleh dipersoalkan atau tidak.Apa yang dikesalkan, hakim mahkamah tinggi gagal berbuat demikian, yang dalam penghakiman kami adalah penyalaharahan yang serius sehingga tidak boleh bergantung kepada eksibit itu yang dikatakan tidak kukuh.
  • Mahkamah memutuskan hakim perbicaraan juga tidak memberi perhatian dan tidak memeriksa sama ada wujud percanggahan dan ketidakkonsistenan keterangan saksi-saksi pendakwa.
  • Hakim perbicaraan juga tidak memeriksa kredibiliti saksi-saksi pendakwa dan tidak memberi perhatian sama ada Azilah dan Sirul Azhar telah menimbulkan keraguan mengenai ketepatan kenyataan mereka mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.
  • Hakim perbicaraan tidak memikirkan sama ada penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati adalah hasil daripada maklumat diberikan oleh dua anggota polis itu dan bukannya daripada sumber lain.
  • Mendapati berlaku keadaan tanpa arah oleh hakim perbicaraan apabila gagal menilai keterangan sebelum menerima kenyataan itu mengikut Seksyen 27.
  • Mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan untuk menunjukkan sebarang kaitan antara selipar dengan kesan darah Altantuya yang ditemui dalam jip Sirul Azhar, dengan beliau (Sirul Azhar).
  • Pihak pendakwa tidak menutup jurang dalam kesnya dalam isu itu.
  • Serupa juga dengan katrij yang ditemui dalam kereta Sirul Azhar yang merupakan tertuduh kedua, mahkamah mendapati wujud jurang dalam kes pendakwa di mana hakim perbicaraan gagal memberikan perhatian.
  • Akhir sekali, mahkamah memutuskan kegagalan pihak pendakwa memanggil atau menawarkan pemeriksaan balas ke atas DSP Musa Safri yang ketika itu pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin mencetuskan inferens berbeza di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan, terhadap pihak pendakwa.
  • "Ingin dinyatakan, dengan tidak memanggil DSP Musa, mengenai fakta kes ini, sedangkan keterangan DSP Musa amat penting untuk mendedahkan naratif bahawa kes pendakwa berdasarkan apa,"
Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.


Sumber :  http://ms.wikipedia.org/wiki/Kes_Pembunuhan_ke_atas_Altantuya_Shaariibuu#Biodata_Altantuya

No comments:

Post a Comment