Sunday, 6 July 2014

'Orang lapar akan jadi orang yang marah'

5:00PM Jul 5, 2014

  • Sebagai wartawan yang pernah menghasilkan laporan khas mengenai masyarakat gelandangan yang bertajuk 'Berbumbung Langit', dan memenangi pula beberapa anugerah nasional antara tahun 2010 hingga2011 untuk laporan itu, saya terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai isu masyarakat gelandangan di Malaysia.

    Saya yakin, hanya golongan yang pernah meluangkan masa bersama golongan ini akan memahami sebab individu ini tersisih sehingga ke jalanan. Jika tidak, pandangan bahawa individu gelandangan terdiri dari penagih dadah dan juga pendatang asing hanyalah satu andaian.

    Berdasarkan kajian saya , golongan penagih dan pendatang ini hanya meliputi kurang 10 peratus daripada bilangan warga gelandangan, manakala yang selebihnya adalah insan biasa yang terhimpit dengan cabaran hidup sehingga tersisih ke jalanan dan tidak mampu bangkit kembali.

    Berikut adalah hasil kajian saya yang boleh membantu orang ramai lebih memahami mengenai golongan gelandangan terutamanya pihak berkuasa:

    Siapakah golongan gelandangan?

    Mereka terdiri daripada individu yang sedang bekerja di beberapa tempat dengan gaji yang tidak seberapa. Ianya tidak cukup untuk menyewa rumah ataupun bilik kerana pendapatan terpaksa dihantar ke kampung halaman.

    Ada juga golongan warga emas yang tersisih dari keluarga atas pelbagai sebab. Ada juga mereka yang cacat anggota badan, namun mahu hidup berdikari tanpa mahu menyusahkan keluarga serta remaja yang lari dari rumah datang dari beberapa lokasi luar Kuala Lumpur, namun terpaksa hidup di jalanan kerana gagal mencari pekerjaan. Dan sebilangan kecil dari golongan gelandangan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah psikiatri.

    Gelandangan malas bekerja?

    Berdasarkan kajian saya, kebanyakkan mereka amat terdesak untuk mencari pekerjaan. Namun kerana faktor umur yang sudah meningkat, mereka hanya mampu mendapat pekerjaan tidak tetap.

    Saya juga pernah menghabiskan masa dengan sekumpulan tujuh orang pemuda serta seorang wanita bersama seorang anak kecil menjadikan kawasan di bawah tiang bendera di Dataran Merdeka sebagai tempat tinggal.

    Apabila hujan terpaksa berlari masuk ke tempat letak kereta bawah tanah di sana. Disebabkan berstatus bekas banduan, kumpulan pemuda ini langsung tidak mendapat pekerjaan tetap untuk  membolehkan mereka menyewa tempat tinggal. Akhirnya memutuskan untuk hidup di jalanan buat sementara waktu, dengan keyakinan akan mendapat pekerjaan tetap pada suatu hari nanti. Pejam celik, sedar tidak sedar, kumpulan ini sudah hidup di jalanan selama lebih satu tahun, dan tidak mampu mendapat pekerjaan tetap.

    Gelandangan tak layak terima bantuan?

    Golongan ini tidak berdaftar sebagai golongan miskin untuk melayakkan mereka mendapat bantuan yang telah disediakan kerajaan.

    Golongan gelandangan ini seolah-olah tidak wujud di Malaysia. Namun selepas laporan saya bertajuk 'Berbumbung Langit' disiarkan, kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Dan Masyarakat telah menyediakan 'Anjung Singgah' pada tahun 2011 yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk mendaftar golongan gelandangan dan cuba mencari pekerjaan bersesuaian dengan mereka termasuk kerja di ladang, di restoran serta juga kilang.

    Operasi menangkap dan kemudiannya menghantar mereka ke pusat perantara untuk memberi mereka latihan dua minggu dalam bidang pertanian dan kraftangan, mungkin bukan penyelesaiannya.

    Mengapa sukar mendapat pekerjaan?

    Apabila seseorang individu hidup bergelandangan, bermakna dia sudah tidak mempunyai tempat bersih untuk bermalam dan menyimpan barang keperluannya seperti pakaian, berus gigi dan sebagainya.

    Cara membersihkan diri serta mencuci pakaian adalah di tempat awam biasanya di waktu malam. Dan individu itu seperti juga insan lain sudah pastinya memerlukan makanan paling kurang pun dua kali sehari.

    Namun apabila bekerja di sesuatu tempat, tempoh bulan yang pertama amat mencabar kerana mereka terpaksa bekerja dan ‘berlakon’ sebagai orang lain yang mempunyai tempat tinggal tetap dan terurus.

    Cuba bayangkan apabila individu gelandangan ini balik dari tempat kerja, tempat tidurnya sudah diambil orang lain, atau ketika sedang tidur barang-barang berharganya seperti pakaian dan kasut sudah hilang dicuri?

    Bagaimana dia hendak ke tempat kerja pada keesokan harinya? Begitu juga dengan makanan. Tanpa wang pendahuluan, bagaimana dia hendak mengisi perutnya? Justeru mereka akan kembali ke kehidupan asal dan juga terus mengharapkan makanan percuma di berikan NGO dan membuat kerja dengan pendapatan tidak tetap.

    Justeru, kesimpulan yang boleh dilemparkan terhadap mereka dari jauh adalah, mereka adalah pemalas dan suka makan percuma.

    Sebaliknya, golongan ini perlu diberikan pekerjaan yang boleh menawarkan tempat tinggal serta memberikan mereka wang pendahuluan untuk membeli bekalan makanan, sekurang-kurangnya di bulan yang pertama mereka bekerja. Namun bukan mudah untuk mencari pekerjaan seperti itu.

    Makanan percuma beri keburukan?

    Tanpa makanan percuma yang disediakan akan menyebabkan ramai individu yang kelaparan. Dalam keadaan lapar, manusia akan berada dalam keadaan terdesak untuk melakukan apa sahaja termasuk jenayah demi kelangsungan hidup, terutamanya golongan seperti bekas banduan.

    Mereka dengan begitu bersungguh-sungguh ingin memulakan hidup baru yang bersih. Apabila ada makanan disediakan, sekurang-kurangnya ada kudrat untuk mereka berfikir cara untuk mencari rezeki halal. Malah saya pernah merakamkan dengan lensa kamera sendiri, golongan ini terpaksa menggeledah tong sampah di belakang beberapa restoran segera bagi mencari sisa makanan.

    Bagi kita jijik, namun bagi mereka ianya rezeki halal yang bukan datang dari hasil mencuri atau merompak. Dan mereka juga tidak mengemis.

    Mewujudkan ‘zon sifar gelandangan’ dan menjauhkan aktiviti memberi makanan percuma dari pusat bandaraya hanya akan meningkatkan risiko jenayah. Jangan kerana Menteri bertanggungjawab ingin menjaga imej Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang bersih mengusir jauh gelandangan, tetapi sebaliknya jenayah pula meningkat kerana individu lapar ini terdesak mendapatkan sumber bagi mengisi perut mereka.

    Jangan kita lupa pada bidalan bahawa 'orang yang lapar akan menjadi orang yang marah'. Kegiatan memberi makan percuma bukan sesuatu yang mudah. Pada setiap hari yang telah ditetapkan, walau hujan atau ribut melanda, mereka akan berada di lokasi yang sama untuk mengisi kelaparan golongan gelandangan.

    Perlu diingatkan, pengedaran makanan percuma ini sebenarnya bukan hanya membantu mengisi perut kosong golongan gelandangan sahaja, tetapi juga golongan miskin tegar yang ada tempat tinggal turut datang untuk mendapatkan makanan panas dan berkhasiat yang dimasak dan dibungkus dengan penuh keikhlasan.

    Jika saya tidak berada bersama kumpulan NGO ketika itu, untuk melihat sendiri pengedaran makanan percuma, tidak mungkin saya akan dapat memahami perkara ini. Kita perlu membuka mata, telinga dan hati seluas-luasnya untuk mendengar suara dan rintihan golongan ini daripada asyik menghukum mereka dari jauh.

    Dan penting juga untuk pihak berkuasa mengetahui, pengemis dan gelandangan adalah dua golongan dan isu berbeza. Jangan cuba hendak wujudkan satu mekanisme yang sama untuk mengendalikan kedua-dua isu ini. Kerana tindakan itu hanya akan mendiskriminasi dan menekan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.


    Puspavathy Ramaloo adalah bekas wartawan kanan stesen TV3.

No comments:

Post a Comment