Tuesday, 29 July 2014

Islam tidak berdiri dengan semangat tetapi Islam berdiri dengan PEMAHAMAN.

Prinsip-prinsip sistem politik Islam terdiri daripada beberapa perkara di antaranya:


Musyawarah

Prinsip pertama dalam sistem politik Islam ialah musyawarah. Asas musyawarah yang paling utama adalah berkenaan dengan pemilihan ketua negara dan orang- orang yang akan menjawat tugas-tugas utama dalam pentadbiran ummah. Asas musyawarah yang kedua pula adalah berkenaan dengan penentuan jalan dan cara perlaksanaan undang-undang yang telah dimaktubkan di dalam al-gur'an dan al Sunnah. Asas musyawarah yang seterusnya ialah berkenaan dengan jalan -jalan menentukan perkara- perkara baru yang timbul di kalangan ummah melalui proses ijtihad.

Ke'adilan

Prinsip kedua dalam sistem politik Islam ialah keadilan. Ini adalah menyangkut dengan ke'adilan sosial yang dijamin oleh sistem sosial dan sistem ekonomi Islam. Ke'adilan di dalam bidang bidang sosioekonomi tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya kuasa politik yang melindungi dan mengembangkannya.

Di dalam perlaksanaannya yang luas, prinsip ke'adilan yang terkandung dalam sistem politik Islam meliputi dan menguasai segala jenis perhubungan yang berlaku di dalam kehidupan manusia, termasuk ke'adilan di antara rakyat dan pemerintah, di antara dua pihak yang bersengketa di hadapan pihak pengadilan, di antara pasangan suami isteri dan di antara ibu bapa dan anak anaknya.

Oleh sebab kewajiban berlaku 'adil dan menjauhi perbuatan zalim adalah merupakan di antara asas utama dalam sistem sosial Islam, maka menjadi peranan utama sistem politik Islam untuk memelihara asas tersebut.

Pemeliharaan terhadap ke'adilan merupakan prinsip nilai-nilai sosial yang utama kerana dengannya dapat dikukuhkan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.

Kebebasan

Prinsip ketiga dalam sistem politik Islam ialah kebebasan. Kebebasan yang dipelihara oleh sistem politik Islam ialah kebebasan yang berteraskan kepada ma'ruf dan kebajikan.

Menegakkan prinsip kebebasan yang sebenar adalah di antara tujuan-tujuan terpenting bagi sistem politik dan pemerintahan Islam serta asas asas bagi undang -undang perlembagaan negara Islam.

Persamaan

Prinsip keempat dalam sistem politik Islam ialah persamaan atau musawah. Persamaan di sini terdiri daripada persamaan dalam mendapat dan menuntut hak-hak, persamaan dalam memikul tanggungjawab menurut peringkat -peringkat yang ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan dan persamaan berada di bawah taklukan kekuasaan undang -undang.

Hak Menghisab Pihak Pemerintah

Prinsip kelima dalam sistem politik Islam ialah hak rakyat untuk menghisab pihak pemerintah dan hak mendapat penjelasan terhadap tindak tanduknya. Prinsip ini berdasarkan kepada kewajiban pihak pemerintah untuk melakukan musyawarah dalam hal hal yang berkaitan dengan urusan dan pentadbiran negara dan ummah. Hak rakyat untuk disyurakan adalah bererti kewajipan setiap anggota di dalam masyarakat untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran. Hak ini dalam pengertian yang luas juga bererti hak untuk mengawasi dan menghisab tindak tanduk dan keputusan-keputusan pihak pemerintah.

Prinsip ini berdasarkan kepada firman Allah yang mafhumnya:

"Dan apabila ia berpaling (daripada kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanaman tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan." (Al-Baqarah: 205)

"..maka berilah keputusan di antara manusia dengan 'adil dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang orang yang sesat daripada jalan Allah akan mendapat 'azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan." (Sad: 26)

Tujuan Politik Menurut Islam

Tujuan sistem politik Islam ialah untuk membangunkan sebuah sistem pemerintahan dan kenegaraan yang tegak di atas dasar untuk melaksanakan seluruh hukum syari'at Islam. Tujuan utamanya ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Dengan adanya pemerintahan yang mendukung syari'ah, maka akan tertegaklah al Din dan berterusanlah segala urusan manusia. Menurut tuntutan-tuntutan al Din tersebut.

Para fuqaha Islam telah menggariskan sepuluh perkara penting sebagai tujuan kepada sistem politik dan pemerintahan Islam.

1. Memelihara keimanan menurut prinsip-prinsip yang telah disepakati oleh 'ulama' salaf daripada kalangan umat Islam
2. Melaksanakan proses pengadilan di kalangan rakyat dan menyelesaikan masalah di kalangan orang-orang yang berselisih
3. Menjaga keamanan daerah-daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai
4. Melaksanakan hukuman -hukuman yang ditetapkan syara' demi melindungi hak -hak manusia
5. Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar
6. Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam
7. Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat dan sedekah sebagai mana yang ditetapkan oleh syara'
8. Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros ataupun secara kikir
9. Mengangkat pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara
10. Menjalankan pergaulan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hal ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi al Din.

Sumber : http://drmindailmu.blogspot.com/2009/08/prinsip-prinsip-utama-sistem-politik.html?m=1

Sunday, 6 July 2014

'Orang lapar akan jadi orang yang marah'

5:00PM Jul 5, 2014

  • Sebagai wartawan yang pernah menghasilkan laporan khas mengenai masyarakat gelandangan yang bertajuk 'Berbumbung Langit', dan memenangi pula beberapa anugerah nasional antara tahun 2010 hingga2011 untuk laporan itu, saya terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai isu masyarakat gelandangan di Malaysia.

    Saya yakin, hanya golongan yang pernah meluangkan masa bersama golongan ini akan memahami sebab individu ini tersisih sehingga ke jalanan. Jika tidak, pandangan bahawa individu gelandangan terdiri dari penagih dadah dan juga pendatang asing hanyalah satu andaian.

    Berdasarkan kajian saya , golongan penagih dan pendatang ini hanya meliputi kurang 10 peratus daripada bilangan warga gelandangan, manakala yang selebihnya adalah insan biasa yang terhimpit dengan cabaran hidup sehingga tersisih ke jalanan dan tidak mampu bangkit kembali.

    Berikut adalah hasil kajian saya yang boleh membantu orang ramai lebih memahami mengenai golongan gelandangan terutamanya pihak berkuasa:

    Siapakah golongan gelandangan?

    Mereka terdiri daripada individu yang sedang bekerja di beberapa tempat dengan gaji yang tidak seberapa. Ianya tidak cukup untuk menyewa rumah ataupun bilik kerana pendapatan terpaksa dihantar ke kampung halaman.

    Ada juga golongan warga emas yang tersisih dari keluarga atas pelbagai sebab. Ada juga mereka yang cacat anggota badan, namun mahu hidup berdikari tanpa mahu menyusahkan keluarga serta remaja yang lari dari rumah datang dari beberapa lokasi luar Kuala Lumpur, namun terpaksa hidup di jalanan kerana gagal mencari pekerjaan. Dan sebilangan kecil dari golongan gelandangan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah psikiatri.

    Gelandangan malas bekerja?

    Berdasarkan kajian saya, kebanyakkan mereka amat terdesak untuk mencari pekerjaan. Namun kerana faktor umur yang sudah meningkat, mereka hanya mampu mendapat pekerjaan tidak tetap.

    Saya juga pernah menghabiskan masa dengan sekumpulan tujuh orang pemuda serta seorang wanita bersama seorang anak kecil menjadikan kawasan di bawah tiang bendera di Dataran Merdeka sebagai tempat tinggal.

    Apabila hujan terpaksa berlari masuk ke tempat letak kereta bawah tanah di sana. Disebabkan berstatus bekas banduan, kumpulan pemuda ini langsung tidak mendapat pekerjaan tetap untuk  membolehkan mereka menyewa tempat tinggal. Akhirnya memutuskan untuk hidup di jalanan buat sementara waktu, dengan keyakinan akan mendapat pekerjaan tetap pada suatu hari nanti. Pejam celik, sedar tidak sedar, kumpulan ini sudah hidup di jalanan selama lebih satu tahun, dan tidak mampu mendapat pekerjaan tetap.

    Gelandangan tak layak terima bantuan?

    Golongan ini tidak berdaftar sebagai golongan miskin untuk melayakkan mereka mendapat bantuan yang telah disediakan kerajaan.

    Golongan gelandangan ini seolah-olah tidak wujud di Malaysia. Namun selepas laporan saya bertajuk 'Berbumbung Langit' disiarkan, kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Dan Masyarakat telah menyediakan 'Anjung Singgah' pada tahun 2011 yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk mendaftar golongan gelandangan dan cuba mencari pekerjaan bersesuaian dengan mereka termasuk kerja di ladang, di restoran serta juga kilang.

    Operasi menangkap dan kemudiannya menghantar mereka ke pusat perantara untuk memberi mereka latihan dua minggu dalam bidang pertanian dan kraftangan, mungkin bukan penyelesaiannya.

    Mengapa sukar mendapat pekerjaan?

    Apabila seseorang individu hidup bergelandangan, bermakna dia sudah tidak mempunyai tempat bersih untuk bermalam dan menyimpan barang keperluannya seperti pakaian, berus gigi dan sebagainya.

    Cara membersihkan diri serta mencuci pakaian adalah di tempat awam biasanya di waktu malam. Dan individu itu seperti juga insan lain sudah pastinya memerlukan makanan paling kurang pun dua kali sehari.

    Namun apabila bekerja di sesuatu tempat, tempoh bulan yang pertama amat mencabar kerana mereka terpaksa bekerja dan ‘berlakon’ sebagai orang lain yang mempunyai tempat tinggal tetap dan terurus.

    Cuba bayangkan apabila individu gelandangan ini balik dari tempat kerja, tempat tidurnya sudah diambil orang lain, atau ketika sedang tidur barang-barang berharganya seperti pakaian dan kasut sudah hilang dicuri?

    Bagaimana dia hendak ke tempat kerja pada keesokan harinya? Begitu juga dengan makanan. Tanpa wang pendahuluan, bagaimana dia hendak mengisi perutnya? Justeru mereka akan kembali ke kehidupan asal dan juga terus mengharapkan makanan percuma di berikan NGO dan membuat kerja dengan pendapatan tidak tetap.

    Justeru, kesimpulan yang boleh dilemparkan terhadap mereka dari jauh adalah, mereka adalah pemalas dan suka makan percuma.

    Sebaliknya, golongan ini perlu diberikan pekerjaan yang boleh menawarkan tempat tinggal serta memberikan mereka wang pendahuluan untuk membeli bekalan makanan, sekurang-kurangnya di bulan yang pertama mereka bekerja. Namun bukan mudah untuk mencari pekerjaan seperti itu.

    Makanan percuma beri keburukan?

    Tanpa makanan percuma yang disediakan akan menyebabkan ramai individu yang kelaparan. Dalam keadaan lapar, manusia akan berada dalam keadaan terdesak untuk melakukan apa sahaja termasuk jenayah demi kelangsungan hidup, terutamanya golongan seperti bekas banduan.

    Mereka dengan begitu bersungguh-sungguh ingin memulakan hidup baru yang bersih. Apabila ada makanan disediakan, sekurang-kurangnya ada kudrat untuk mereka berfikir cara untuk mencari rezeki halal. Malah saya pernah merakamkan dengan lensa kamera sendiri, golongan ini terpaksa menggeledah tong sampah di belakang beberapa restoran segera bagi mencari sisa makanan.

    Bagi kita jijik, namun bagi mereka ianya rezeki halal yang bukan datang dari hasil mencuri atau merompak. Dan mereka juga tidak mengemis.

    Mewujudkan ‘zon sifar gelandangan’ dan menjauhkan aktiviti memberi makanan percuma dari pusat bandaraya hanya akan meningkatkan risiko jenayah. Jangan kerana Menteri bertanggungjawab ingin menjaga imej Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang bersih mengusir jauh gelandangan, tetapi sebaliknya jenayah pula meningkat kerana individu lapar ini terdesak mendapatkan sumber bagi mengisi perut mereka.

    Jangan kita lupa pada bidalan bahawa 'orang yang lapar akan menjadi orang yang marah'. Kegiatan memberi makan percuma bukan sesuatu yang mudah. Pada setiap hari yang telah ditetapkan, walau hujan atau ribut melanda, mereka akan berada di lokasi yang sama untuk mengisi kelaparan golongan gelandangan.

    Perlu diingatkan, pengedaran makanan percuma ini sebenarnya bukan hanya membantu mengisi perut kosong golongan gelandangan sahaja, tetapi juga golongan miskin tegar yang ada tempat tinggal turut datang untuk mendapatkan makanan panas dan berkhasiat yang dimasak dan dibungkus dengan penuh keikhlasan.

    Jika saya tidak berada bersama kumpulan NGO ketika itu, untuk melihat sendiri pengedaran makanan percuma, tidak mungkin saya akan dapat memahami perkara ini. Kita perlu membuka mata, telinga dan hati seluas-luasnya untuk mendengar suara dan rintihan golongan ini daripada asyik menghukum mereka dari jauh.

    Dan penting juga untuk pihak berkuasa mengetahui, pengemis dan gelandangan adalah dua golongan dan isu berbeza. Jangan cuba hendak wujudkan satu mekanisme yang sama untuk mengendalikan kedua-dua isu ini. Kerana tindakan itu hanya akan mendiskriminasi dan menekan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.


    Puspavathy Ramaloo adalah bekas wartawan kanan stesen TV3.

Tuesday, 1 July 2014

JINGGA 13 SELAR TINDAKAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA.

Kenyataan Media
Jingga13 Malaysia

1 Julai 2014

JINGGA 13 SELAR TINDAKAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TERHADAP PROFESSOR DATUK DR RIDHUAN OTHMAN SEBAGAI PEROSAK AKADEMIK DAN TIDAK BERTAMADUN

Jingga 13 Malaysia menyelar tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah menekan Professor Datuk Dr Redzuan Othman meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian  Demokrasi dan Pilihanraya (UMCEDEL) sebagai satu tindakan perosak akademik dan tidak bertamadun serta tidak bersikap professional dan mengikut telunjuk UMNOBN. 

Tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang sudah pasti disokong oleh Menteri Pelajaran Malaysia adalah merupakan tindakan desperado terhadap Professor Datuk Dr Redzuan Othman yang pasti didalangi oleh UMNOBN yang sanggup mencabul kebebasan akademik dan dibayangi oleh kebodohan segelintir pihak.

Adalah menjadi kerugian kepada Universiti Malaya dan Negara apabila perkhidmatan Redzuan sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) universiti itu juga tidak disambung mulai semalam 30 Jun 2014, walaupun dikatakan masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan pensyarah di fakulti berkenaan.

Malah beliau telah menunjukkan prestasi yang membanggakan  dengan meletakkan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) Universiti Malaya (UM) sebagai antara yang terbaik di negara serta mempunyai rekod cemerlang pernah dinobatkan sebagai dekan terbaik dan cemerlang di Univeriti Malaya.

Ketelusan,professional dan kejayaan kajian yang terbaik oleh UMCEDEL di bawah pimpinan Professor Datuk Dr Redzuan Othman meletakkan Universiti Malaya sebagai sebuah universiti yang dihormati dan disegani serta mengangkat prestasi Universiti Malaya sebagai universiti yang berprestij dan berkualiti. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin selalu Menteri Pelajaran yang sewajarnya meletakkan jawatan dan bertanggungjawab terhadap tindakan 'sampah' demi survival UMNOBN semata-mata dan bukan di atas prinsip professional demi mengangkat kredebiliti dan prestasi mutu akademik negara bukan memberikan tekanan kepada Professor Datuk Dr. Rezuan Othman untuk meletakkan jawatan.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator 
JINGGA 13 Malaysia