Friday, 8 August 2014

Nasharuddin Tantawi Yang Pemalu Tetapi Memalukan


Ahli Parlimen Temerloh, Nasharuddin Tantawi dilihat sebagai antara pemimpin Pas yang "pemalu" kerana tidak pernah bersuara di Parlimen memperjuangkan isu-isu rakyat atau mendedahkan apa-apa salah laku yang melibatkan UMNO dan BN. Malah di ketika rakan-rakannya, pemimpin muda daripada PKR dan DAP sentiasa bangkit dengan satu demi satu isu serta pendedahan demi pendedahan, suaranya menyokong juga hampir tidak kedengaran.

Beliau nampaknya selesa menjadi watak yang diam, kaku dan pasif saja. Namun, di sebalik watak "pemalu" menyerang UMNO dan BN itu, suaranya menyerang rakan sendiri dalam PR boleh dianggap berbisa juga. Walaupun tembakannya kali ini hanyalah peluru kapur, malah bakal ditembak balik pula, tetapi alangkah baiknya jika beliau turut melatih dirinya untuk menyerang musuh yang sebenarnya.

Sebelum ini beliau bangga menjadi antara pemimpin Pas yang miskin, lalu tanpa diminta oleh sesiapa mengisytiharkan kedudukannya yang tidak berharta apa-apa sebelum pilihanraya lalu, tetapi apabila kemudian diketahui sudah memiliki kereta mewah Vellfire sebaik bergelar YB, kecaman dan serangan terhadapnya oleh ahli Pas sendiri mulai meningkat.

Lebih dahsyat lagi, ketika Haji Hadi Awang terlantar sakit di Turki, Nasharuddin juga merintih kesedihan kerana mendakwa tidak mampu dari segi kewangan untuk menziarahi presiden partinya sendiri yang dirawat di sana, sebaliknya hanya mampu menitipkan doa agar cepat sembuh saja.

Tindakan beliau itu mendapat persendaan paling banyak sehingga ada yang menyarankannya menjual saja kereta mewah yang dimilikinya itu jika benar sayang kepada Haji Hadi dan perjuangan Pas yang didukungnya. Beliau juga dibandingkan dengan Ahli Parlimen Sungai Siput, Jeyakumar yang berfahaman sosialis tetapi memilih menjual AP kenderaan yang dimilikinya sebagai Ahli Parlimen untuk membina sebuah jambatan bagi kemudahan penduduk, malah terus menggunakan Volvo lama sebagai kenderaan seharian.

Ketika demam Piala Dunia sedang berlangsung, beliau pernah merayu agar diadakan gencatan senjata dalam menyerangnya serta menumpukan kepada pertandingan bolasepak yang sedang berlangsung. Malangnya, selepas itu pun beliau tetap selesa berdiam diri meski serangan, kecaman dan persendaan terhadapnya sentiasa ada.

Dalam usahanya mempertahankan kedudukan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, Nasharuddin semalam bersuara meluahkan kononnya berlaku ketidakadilan kerana Khalid dibantai berkaitan Lebuhraya Kidex sedangkan Lim Guan Eng tidak dikata apa-apa berhubung Projek Lebuhraya Tunnel di Pulau Pinang yang menelan belanja RM4.6 bilion yang juga disakwaya dilakukan secara rundingan terus.

Meskipun lim Guan Eng sudah memberi tenpoh 24 jam kepada Nasharuddin untuk meminta maaf dan menarik balik dakwaannya atau berhadapan tindakan saman, beliau nyata tergolong dalam specis "bodoh" apabila bercakap soal tersebut, selain fakta yang disebutnya juga adalah tidak tepat.

Dalam usahanya mempertahankan Khalid, atau lebih tepat lagi sebenarnya hanya mempertahankan Haji Hadi Awang yang sebelum itu mahu Khalid terus dikekalkan, cuba mengheret sama DAP adalah tidak kena sama-sekali. Kalau nak sokong, cium tangan Khalid atau peluk pipi Haji Hadi sekali pun, buatlah tapi jangan libatkan orang lain.

Fakta yang disebutkan Nasharuddin bahawa Lebuhraya Tunnel dilakukan secara rundingan terus juga tidak betul kerana projek itu sebenarnya melalui tender terbuka dan syarikat yang terpilih adalah kerana menawarkan harga terendah sekali.

Penentangan terhadap Lebuhraya Kidex juga bukan kerana ia runding terus tetapi adalah kerana ia projek UMNO yang diberikan kepada peguam UMNO dan bekas Ketua Hakim Negara yang dipercayai ada kaitan dengan sumbangan mereka memastikan kerajaan PR di Perak tumbang pada 2009 dahulu, selain bantahan daripada penduduk sendiri.

Kalau benar juga Nasharuddin ingin bercakap soal rundingan terus, beliau tidak seharusnya melihat di Pulau Pinang sebagai fokusnya kerana sebagai pimpinan Pas, beliau seharusnya melihat banyak juga projek balak dan tanah di Kelantan sejak berpuluh tahun lalu turut dilakukan secara rundingan terus.

Tegur dan buatlah perbandingan dengaan kerajaan Pas terlebih dahulu, itu lebih afdal dan banyak pahalanya lagi daripada mengaitkannya dengan Pulau Pinang.

Dalam membandingkan Khalid yang mahu ditukar, beliau juga menyamakannya dengan senario ketika Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 dahulu. Menurut beliau, jika ketika Anwar dipecat dahulu, Pas menghulurkan sokongan, maka tiada bezanya dengan sokongan yang diberikan kepada Khalid sekarang.

Sekali lagi, beliau terlihat naif. Membandingkan Khalid dengan Anwar amatlah tidak kena. Anwar dipecat kerana dianggap mengancam kedudukan Mahathir, lalu kemudiannya direka pelbagai dakwaan, fitnah dan keburukan mengenainya demi menghalalkan hukuman terhadapnya. Pelbagai dakwaan yang dihebahkan melalui media sebaik Anwar dipecat tidak lebih sebagai propaganda, malah ketika tuduhan liwat dibuat juga didapati kondominium yang dikaitkan belum siap lagi sehingga kemudian terpaksa diubah tarikhnya.

Anwar pula dalam pemilihan UMNO sebelumnya, mendapat sokongan hampir 100 peratus sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan. Tetapi Khalid, janganlah nak menang Timbalan Presiden PKR, bertanding Ketua Cabang Kuala Selangor pun kalah. 

Khalid pula ingin ditukar kerana tidak relevan lagi berikutan mentadbir negeri secara solo dan membelakangkan PR dalam banyak isu besar. Hubungannya yang mesra dengan UMNO secara tiba-tiba menjadikan sudah menjadi seperti gunting dalam lipatan kepada PKR dan PR.

Khalid juga mulai melakukan perkara-perkara yang meragukan sejak kebelakangan ini, terutama berkaitan hutangnya berjumlah RM70 juta yang tiba-tiba selesai. Beliau juga didakwa menganugerahkan projek dan tanah secara runding terus kepada tokoh korporat yang dikaitkan sebagai orang tengah yang membantu menyelesaikan hutangnya.

Tidakkah apa yang dilakukan Khalid ini bertentangan dengan dasar keadilan dan ketelusan yang diperjuangkan oleh PR selama ini? Kalau Nasharuddin menyoal tentang runding terus, Khalid juga melakukan perkara yang sama. Maka itu, menukarnya adalah wajar jika PR ingin terus kekal di Selangor dan terus mempunyai harapan menawan Putrajaya.

Perlakuan seperti Nasharuddin inilah yang sebenarnya banyak memalukan Pas. Beliau "pemalu" menyerang musuh yang sebenarnya tetapi penampilannya seringkali memalukan dan menjadikannya jauh tertinggal sebagai pemimpin muda yang berwibawa jika dibandingkan rakan-rakan seangkatannya walaupun pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas sebelum ini.

Sumber : http://shahbudindotcom.blogspot.com/2014/08/nasharuddin-tantawi-yang-pemalu-dan.html?spref=fb&m=1